Setelah meminta netizen mengundi nama pilihan untuk diberikan pada SUV pertama keluarannya, kini Proton mengumumkan pula mereka yang mengambil bahagian dalam aktiviti tersebut berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah yang bernial lebih dari RM100,000.

Bagi mereka yang berminat, anda boleh sertainya menerusi PAUTAN INI, dan menurut Proton ia akan berlangsung selama satu bulan serta dibuka kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa sebarang pembelian diperlukan. Empat nama telah dipilih oleh Proton sendiri iaitu Proton X7, PX7, X70, atau X700. Anda perlu memilih salah satu nama berkenaan dan jelaskan mengapa ia dipilih. Selain itu, Proton turut memberikan peluang kepada netizen memberikan nama alternatif kepada model baharu berkenaan.

“Kami ingin berkongsi bersama rakyat Malaysia peristiwa yang bermakna ini kerana SUV baharu tersebut juga merupakan simbol pencapaian untuk negara kita. Oleh itu, kami akan memberi ganjaran kepada orang ramai yang turut serta dalam undian ini dan seramai lima orang responden yang bertuah akan dipilih sebagai pemenang untuk menerima hadiah-hadiah menarik,” kata Abdul Rashid Musa, Naib Presiden Jualan dan Pemasaran PROTON.

Baucar hadiah bernilai RM100,000 akan dibahagikan kepada para peserta sebagai tanda penghargaan manakala lima pemenang utama akan dipilih berdasarkan makna terbaik yang diberikan di sebalik nama yang mereka undi. Tarikh tutup undian ini adalah pada 30 April 2018 jam 11.59 malam dan pemenang akan diumumkan sebelum tarikh pelancaran SUV pertama tersebut

Pakej hadiah yang bakal diterima terdiri daripada pengalaman bernilai seperti undangan ekslusif VIP pada majlis pelancaran serta diberi penghormatan untuk menjadi antara orang pertama memandu uji dan melihat sendiri teknologi dan ciri-ciri terkini yang terdapat pada SUV tersebut di trek ujian Proton di Shah Alam.

Selain itu juga orang ramai turut diberi pilihan untuk mencadangkan nama lain bagi SUV tersebut. Sekiranya nama tersebut dipilih, seorang pemenang bertuah akan menerima hadiah pakej pelancongan 2 orang selama 4 hari 3 malam ke Hangzhou dan Shanghai termasuk lawatan ke ibu pejabat Geely.

Menurut berberapa laporan dan juga kenyataan dari Proton sendiri, SUV tersebut akan membuat kemunculan sulungnya pada akhir tahun ini. Ia akan diasaskan dari SUV Geely Bouye (atau Geely Emgrand X7 pada berberapa pasaran luar China), yang di prebiu buat pertama kali dalam bentuk pemanduan sebelah kiri pada Jun tahun lalu.

Kelibat Boyue yang diuji oleh Proton di atas jalan raya Malaysia sudahpun kelihatan berberapa kali, namun ia masih lagi dalam bentuk pemanduan sebelah kiri. Spesifikasi sebenar model yang akan dihasilkan oleh Proton ini juga masih belum diumumkan. Gambar versi pemanduan sebelah kanan SUV berkenaan juga telah tersebar sebelum ini, tetapi jika diperhatikan, ia hanyalah imej palsu yang telah di edit.

Boyue merupakan sebuah SUV yang direka oleh bekas pereka Volvo, Peter Horbury. Ia merupakan SUV segmen-C dengan bentangan lima-tempat duduk, berukuran 4.5 meter panjang.

Untuk pasaran China, Boyue dijana dengan berberapa pilihan enjin termasuk 2.4 liter NA berkuasa 162 hp/210 Nm dan juga versi 1.8 liter turbo berkuasa 163 hp/250 Nm. Enjin-enjin tersebut dipadankan dengan sama ada transmisi enam-kelajuan manual atau automatik, bergantung pada pilihan enjin.

Model pasaran China juga diberikan pelbagai ciri menarik antaranya skrin sesentuh lapan-inci dengan sokongan Apple CarPlay/Android Auto dan juga kelengkapan keselamatan aktif seperti amaran keluar lorong serta cruise control adaptif. Wakil kami telah pun menguji SUV ini di China tahun lalu, dan anda boleh baca ulasannya DI SINI.

GALERI: Geely Boyue facelift 2018 pasaran China

GALERI: Penampilan sulung Geely Boyue di Malaysia 2017