Proton akan masuk ke pasaran China bersama Geely – tumpuan kepada model baru, teknologi elektrifikasi

Proton akan masuk ke pasaran China bersama Geely – tumpuan kepada model baru, teknologi elektrifikasi

Proton hari ini telah menandatangani perjanjian peringkat awal dengan Geely sebagai langkah permulaan bagi tujuan untuk memasang dan memasarkan kenderaan Proton di negara China. Kedua-dua pihak akan mempunyai pegangan yang setara di dalam syarikat usaha sama baru yang akan diumumkan kelak bagi tujuan ini.

Ia akan melibatkan model baru yang akan dibangunkan bersama dengan Geely selepas ini, dengan tumpuan yang akan turut diberikan terhadap teknologi elektrifikasi kenderaan – Geely ketika ini sudah pun memiliki teknologi yang dimaksudkan, dan telah pun memasarkan beberapa model seperti Borui PHEV/MHEV untuk pasaran China.

Antara yang turut terkandung di dalam persefahaman awal perjanjian ini ialah Geely akan bertanggungjawab untuk menyediakan platform, aspek kejuruteraan seperti enjin dan sistem janaan (drivetrain) bagi model-model terbabit, manakala Proton pula akan menggalas tugas menghasilkan reka bentuk luaran secara menyeluruh bagi kereta-kereta terlibat.

Difahamkan, model-model itu nanti akan dijual di pasaran China menggunakan logo Proton. Selain itu, turut akan dipertimbangkan ialah penggunaan platform kenderaan sedia ada oleh Proton yang dirasakan sesuai di dalam membangunkan model untuk China.

Proton akan masuk ke pasaran China bersama Geely – tumpuan kepada model baru, teknologi elektrifikasi

Perkara ini diumumkan di dalam satu majlis yang di ibu pejabat Geely di Hongzhou, China, yang antara lain turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad; Pengerusi Zhejiang Geely Holding Group, Li Shufu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking, Menteri Industri Utama, Teresa Kok dan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

Perkembangan terbaru ini juga menunjukkan komitmen Geely untuk meneroka lebih jauh kerjasama dengan Proton bagi membantu memperkukuhkan dan memperluaskan lagi pasaran eksport pengeluar kenderaan nasional itu. Untuk rekod, Proton sebelum ini pernah mencuba untuk menembusi pasaran China melalui usaha sama antaranya dengan Youngman dan Goldstar – ketika itu melibatkan model Persona lama – tetapi tidak berhasil untuk pergi lebih jauh.

Bersama Geely sebagai rakan strategik yang turut merupakan pemegang kepentingan di dalam Proton, situasinya berbeza ketika ini. “Bersama Geely, laluan Proton untuk memasuki pasaran China lebih luas. Antara peranan Geely adalah untuk mendapatkan lesen pengilangan dan kelulusan dari segi undang-undang China bagi usaha sama ini. Geely juga akan mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk menempatkan kemudahan pengilangan itu nanti,” jelas Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Dato’ Sri Syed Faisal Albar.

Syed Faisal turut menambah, vendor-vendor sedia ada Proton yang berdaya saing serta berkualiti turut akan dipertimbangkan sebagai pembekal kepada syarikat usaha sama itu nanti. Ini adalah selari dengan hasrat kerajaan untuk membuka ruang dan peluang kepada vendor-vendor tempatan untuk terlibat sama di dalam kitaran ekonomi pasaran di China.

Proton akan masuk ke pasaran China bersama Geely – tumpuan kepada model baru, teknologi elektrifikasi

“Sejajar dengan hasrat Perdana Menteri, kami telah mengambil keputusan untuk mempergiat kerjasama strategik di antara kedua-dua pihak, terutama dari sudut tenaga baru, pembangunan senireka dan platform produk serta pelaburan terhadap komponen teras di Malaysia. Ini akan membantu kedua-dua negara untuk melangkah lebih jauh di dalam suasana industri automotif yang semakin mencabar kini,” jelas Li Shufu.

Memberi pandangannya tentang Proton-Geely, Tun Mahathir berharap agar usahasama itu dapat meningkatkan kemampuan dan pengetahuan kejuruteraan Proton. “Saya perlu akui, banyak peningkatan kualiti serta perkembangan teknologi yang telah ditunjukkan oleh Geely melalui model-model terbaru yang dihasilkan,” jelas Tun M yang pernah berkunjung ke ibupejabat Geely yang sama empat tahun lalu.

Mengulas tentang pengalamannya memandu model Boyue yang bakal menjadi model pertama dari kerjasama kedua-dua syarikat ini untuk pasaran Malaysia, Tun memaklumkan; “SUV yang saya suka pandu di Malaysia sebelum ini ialah Volkswagen Tiguan. Bila saya pandu model Boyue, saya fikir kualiti keseluruhan kereta buatan China ini telah banyak peningkatan. Saya boleh kata dari segi kualiti dan kesenangan untuk dipandu, Boyue dapat berikan pengelaman yang setara,” jelas beliau.

Proton akan masuk ke pasaran China bersama Geely – tumpuan kepada model baru, teknologi elektrifikasi

Bagi Proton, sekiranya mampu untuk menembusi pasaran China dalam peratusan yang kecil sahaja pun sudah memadai, sebagai permulaan untuk meningkatkan kadar pengeluar dan memperluas pasaran eksport. Untuk rekod, pasaran kenderaan penumpang di China dalam tempoh 10 tahun terakhir ini berkembang dengan sangat pesat.

Sebagai contoh, pada 2008 sejumlah 6.76 juta kenderaan penumpang terjual di China. Namun, pada 2017 pula, jumlah berkenaan meningkat kepada 24 juta kenderaan. Geely pula menjadi antara pelopor dalam pasaran berkenaan (di China terdapat sekitar 300 syarikat pengeluar kenderaan), dengan menjadi syarikat persendirian (yang tiada kaitan dengan pemilikan kerajaan) pertama di China yang berjaya menjual sebanyak 1 juta unit kenderaan tahun lalu.

Geely berhasil menjual lebih daripda 1.24 juta kenderaan pada 2017, dengan perkongsian pasaran 5.06%. Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, Geely menjual secara purata 125,000 unit kenderaan sebulan. Model SUV Boyue pula (yang akan dijual sebagai SUV pertama Proton di Malaysia nanti) mencatatkan jualan melebihi 20,000 unit sebulan di China sepanjang tahun ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required