Proton Holdings telah membatalkan kontrak usahasama (JV) dengan Goldstar Heavy Industrial dari China untuk membangun dan memasarkan kenderaan Lotus di China, lapor The Edge. Lotus Group International yang juga merupakan pihak terlibat dalam usahasama itu turut mengeluarkan surat pembatalan kepada Goldstar. Pada April 2015, semua terlibat telah menandatangani persetujuan untuk mempercepat pembagunan kenderaan Lotus bagi pasaran tersebut.

Di dalam penjelasan kepada Bursa Malaysia, DRB-Hicom menyatakan kontrak berkenaan dibatalkan kerana syarikat usahasama itu, Goldstar Lotus Automobile, telah gagal untuk mendapatkan lesen pengilangan di China yang diperlukan. Tarikh akhir untuk mendapatkannya adalah 25 September tahun lalu, yang kemudiannya dilanjutkan ke 31 Disember 2017.

Bagaimanapun, lesen berkenaan tetap tidak berjaya diperolehi selepas tarikh dilanjutkan, jelas DRB-Hicom. Syarikat itu juga menambah, semua pihak telah bersetuju untuk mempertimbangkan langkah seterusnya berkaitan ekuiti kontrak usahasama itu, berdasarkan undang-undang China.

Syarikat baru itu ditubuhkan dengan matlamat untuk mengeluar dan menjual kenderaan jenama Lotus, serta enjin, komponen dan alat ganti berserta aksesori dinegara itu.

Memang, Lotus Cars bukan lagi milik DRB-Hicom. Mei tahun lalu, syarikat itu mengumumkan penjualan sepenuhnya kepentingan dalam Lotus. Pada September 2017, diumumkan bahawa Zhejiang Geely Holding (ZGH) telah melunaskan transaksi pegangan saham majoriti 51% dalam Lotus, sementara 49% lagi dimiliki oleh Etika Automotive dari Malaysia.