Toyota Supra A90 – kotak gear manual sudah ada, mungkin hanya untuk JDM dan pasaran RHD lain

Toyota Supra A90 – kotak gear manual sudah ada, mungkin hanya untuk JDM dan pasaran RHD lain

Ingat lagi pada era 80’an dan 90’an dahulu, pengeluar Jepun sentiasa menghasilkan model dengan ciri istimewa hanya pasaran domestik mereka sahaja? Misalnya di Amerika, Nissan S13 hanya ditawarkan sebagai 240SX dengan enjin NA 2.4 liter SOHC tanpa pilihan enjin turbo CA18DET atau SR20DET, Subaru hanya menawarkan Impreza 2.5 RS dengan enjin NA 2.5 liter tanpa pilihan versi WRX dan WRX STI dengan enjin turbo EJ20T, dan Nissan langsung tidak menghasilkan Skyline GT-R (R32, R33 dan R34) dalam versi pemanduan sebelah kiri dan ia ‘haram’ untuk dieksport ke sana.

Nampaknya Toyota bakal melakukan perkara yang hampir sama terhadap Supra A90 yang akan membuat kemunculannya tahun hadapan di mana jenama tersebut berkemungkinan akan menawarkan Supra dalam versi transmisi manual hanya untuk model JDM dan mungkin mengeksportnya hanya pada pasaran yang menggunakan pemanduan di sebelah kanan (RHD), lapor Autocar.

Seperti yang diketahui, Supra A90 merupakan kereta sport yang di bina berasaskan platform yang sama dengan BMW Z4 generasi baharu, di mana kedua-duanya dilaporkan hanya ditawarkan dengan kotak automatik lapan-kelajuan. Namun menurut pembantu ketua jurutera Masayuki Kai, Supra dengan transmisi manual sebenarnya telah pun dihasilkan dan ia dalam versi pemanduan sebelah kanan.

Toyota Supra A90 – kotak gear manual sudah ada, mungkin hanya untuk JDM dan pasaran RHD lain

“Ia masih belum diputuskan [pengenalan transmisi manual], dan ia akan bergantung kepada maklum balas dari pasaran, kami akan membuat keputusan adakah kami patut memperkenalkan transmisi manual,” kata Kai.

“Kami telah membinanya, ya, komponennya sudah pun bersedia. Pemanduan sebelah kanan? Ya, sudah tentu. Ia perlu dijual di Jepun, iaitu pasaran pemanduan sebelah kanan,” jelas Kai lagi.

Toyota Supra generasi baharu ini akan dijana enjin petrol 3.0 liter enam-silinder dengan pengecas turbo jenis twin-scroll bersama sistem suntikan terus, membolehkan ia menjana lebih dari 295 hp dan tork 450 Nm. Toyota mendakwa Supra generasi kelima ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa tidak sampai lima saat.

Selain itu, Toyota turut akan menawarkan model asas Supra yang dijana enjin empat silinder, yang disifatkan oleh ketua Jurutera Tetsuya Tada sebagai kurang berkuasa namun mempunyai karekter pengendalian lebih tajam kerana lebih ringan, serta lebih sesuai digunakan untuk projek menyumbatkan enjin 2JZ dari generasi terdahulu.

Tetsuya Tada (yang juga bertanggungjawab dalam projek Toyota 86 sebelum ini) turut mengesahkan bahawa Supra generasi baharu ini direka dengan titik graviti lebih rendah dari 86, mempunyai nisbah berat 50:50 dan difokuskan lebih terhadap pengendalian – berbeza dari Supra JZA80 dengan enjin 2JZ-GTE yang dilihat sebagai pemusnah supercar di laluan lurus.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required