Sebelum ini, untuk kenderaan elektrik generasi baru I.D, Volkswagen telah memperkenalkan model I.D. Buzz Concept di mana ia adalah sebuah van penumpang, dan kali ini, syarikat yang mahu memberi lebih fokus kepada kenderaan elektrik itu memperkenalkan pula I.D. Buzz Cargo yang boleh digunakan untuk mengangkat barang atau termasuk dalam kategori kenderaan komersial ringan.

Penampilan I.D. Buzz Cargo ini hampir sama dengan I.D. Buzz, dengan logo VW yang besar, jalur berbentuk V serta lampu dengan permukaan yang licin di hadapan, tetapi ia tidak mempunyai cermin untuk bahagian belakang dan pintu untuk mengakses ruang barangan terbelah di tengah dan dibuka ke tepi. Ini kerana I.D. Buzz Cargo adalah sebuah van panel yang bakal meneruskan generasi model Transporter dan direka untuk mengangkut barang.

Setakat ini masih belum ada sebarang gambar bahagian dalam yang dikeluarkan secara rasmi, tetapi menurut Volkswagen, I.D. Buzz Cargo ini dapat melakukan tugas penghantaran barang dengan lebih cekap dan tersusun kerana menggunakan sistem berasaskan “Internet of Things”. Pengendali hanya perlu melihat kepada tablet dan boleh mengetahui segala informasi tentang barang yang ada di belakang dan seterusnya merancang perjalanan.

Pada bahagian hadapan, terdapat satu tempat duduk untuk pemandu dan di sebelahnya terletak tempat duduk jenis bangku (bersambung di tengah). Tetapi, bahagian tengah itu boleh dilipat jika tidak digunakan, dan seterusnya memberikan ruang kerja berserta komputer bersepadu untuk kegunaan pemandu. Ini juga boleh dilakukan semasa bergerak kerana I.D. Buzz Cargo dilengkapi dengan sistem pemanduan autonomous Level 4.

Dengan penggunaan platform Modular Electric Drive Kit (MEB), I.D. Buzz Cargo boleh didapati dengan pakej bateri yang pelbagai, bergantung kepada penggunaan dan bajet pemiliknya. Jika ia lebih banyak digunakan secara biasa dalam bandar, anda boleh mendapatkan pakej bateri lithium-ion 48 kWh, tetapi jika banyak digunakan untuk jarak lebih jauh, pakej bateri 111 kWh disarankan. Jarak pergerakan pula adalah antara 320 km hingga 550 km.

Bateri ini memberi kuasa kepada motor elektrik 150 kW (201 hp), dan ia disambungkan kepada kotak gear satu kelajuan yang disepadukan di dalam gandar belakang. Kelajuan maksimum dihadkan kepada 160 km/j dan ia juga berkemampuan untuk datang dengan sistem pacuan empat roda seperti I.D. Buzz. Dengan menggunakan pengecas pantas 150 kWh, bateri 48 kWh dapat mencapai tahap penuh dalam masa 15 minit manakala untuk bateri 111 kWh, 30 minit. Walaupun boleh dicas dengan kuasa 2.3 kW daripada soket 230V biasa, Volkswagen mencadangkan pemilik mendapatkan pengecas khas yang mempunyai lebih kuasa, sehingga 11 kW.

Setakat ini, model I.D. Buzz Cargo masih lagi adalah sebuah konsep tetapi Volkswagen memberitahu, ia boleh dilancarkan untuk pasaran seawal tahun 2021. Bagi I.D. Buzz pula, Volkswagen memberitahu ia bakal memasuki fasa pengeluaran pada tahun 2022.

GALERI: Volkswagen I.D. Buzz Concept