Volkswagen I.D Buzz Concept – jelmaan semula ‘Kombi Van’ dengan janakuasa elektrik sepenuhnya

Volkswagen I.D Buzz Concept – jelmaan semula ‘Kombi Van’ dengan janakuasa elektrik sepenuhnya

Selain dari Beetle, Volkswagen mempunyai sebuah lagi kenderaan yang sangat ikonik dengan enjin boxer bersama sistem pendingin angin serta diletakkan di bahagian belakang, tidak lain dan tidak bukan Volkswagen Type-2 atau lebih dikenali juga sebagai Kombi Van. Ketika berlangsungnya Detroit Auto Show 2017, Volkswagen telah mendedahkan sebuah model konsep yang direka diinspirasikan dari van berkenaan, dan diberi nama Volkswagen I.D Buzz Concept.

‘Buzz’ pada nama I.D Buzz berkenaan diambil sempena perkataan ‘Bus’, dimana Kombi Van juga popular digelar sebagai ‘Microbus’. Berbeza dengan model asalnya, model konsep ini dijana sepenuhnya dengan kuasa elektrik, memacu semua roda, serta diberikan sistem pemanduan automatik.

“I.D Buzz merupakan kenderaan generasi seterusnya yang dibina berasaskan Modular Electric Drive Kit (MEB) yang baharu, menawarkan keselesaan dan ruang yang banyak,” kata Dr.Frank Welsch, ahli lembaga pengurusan Volkswagen yang bertanggungjawab membina model ini. Dua buah motor elektrik berkuasa 201 hp diberikan pada I.D Buzz, sebuah pada gandar hadapan dan sebuah lagi pada gandar belakang, memberikan kuasa keseluruhan 369 hp. Ia dijana dengan bateri 111 kWh yang dapat memberikan jarak perjalanan sejauh 600 km dengan sekali cas penuh pada kitaran NEDC.

Volkswagen I.D Buzz Concept – jelmaan semula ‘Kombi Van’ dengan janakuasa elektrik sepenuhnya

Bateri berkenaan juga boleh di cas semula menerusi Sistem Pengecas Gabungan atau menggunakan inductive charging interface, yang menurut VW ia mampu mencapai 80% cas penuh dalam masa 30 minit. Platform MEB yang fleksibel juga membolehkan I.D Buzz beroperasi secara pacuan belakang sahaja menggunakan bateri 83 kWh yang lebih kecil, menghasilkan kuasa 268 hp, bergantung pada penggunaan.

Van ini juga diberikan sistem pemanduan automatik yang menyeluruh, dan VW menggelarnya sebagai “kenderaan pelbagai guna pemanduan automatik sepenuhnya pertama di dunia.” Mod “I.D Pilot” iaitu mod pemanduan automatik pada van ini boleh diaktifkan dengan menolak dengan ringan roda stereng sehingga ia ‘termasuk’ke dalam panel instrumen. Ini boleh dilakukan dengan kolum stereng yang baru dibina, membolehkan gear stereng pisahkan semasa mod ini diaktifkan.

Dalam mod ini juga, lampu bahagian dalaman akan berubah dari putih menjadi mood yang lebih relaks, serta kawasan tempat duduk bahagian belakangnya akan diperbesarkan lagi. Apabila pemandu telah menyerahkan tugas memandu sepenuhnya kepada sistem, tempat duduk pemandu boleh dipusingkan 180 darjah ke belakang untuk menghadap penumpang. Dengan hanya satu sentuhan pada roda stereng, pedal brek atau pedal pendikit, pemandu boleh mengambil semula semua kawalan terhadap van tersebut.

Antara peralatan yang digunakan untuk sistem pemanduan sendiri pada model konsep ini adalah penderia laser, penderia ultrasonic, penderia radar, bersama kamera pandangan sisi dan juga kamera pandangan hadapan. Sistem Cloud pula membolehkan ia menerima data trafik secara berterusan, dan akan dibandingkan datanya sendiri.

Dengan sistem Volkswagen User-ID yang disepadukan, I.D Buzz boleh menyimpan larasan profil untuk ramai pengguna bagi sistem seperti larasan tempat duduk dan penghawa dingin, sistem bunyi, stesen radio dan larasan muzik, konfigurasi sistem navigasi, lampu suasana serta perincian senarai kenalan.

I.D Buzz juga menggunakan telefon pintar untuk dijadikan sebagai kunci pintar, yang juga dihubungkan bersama Volkswagen User-ID bagi tujuan mengenalpasti pengguna, serta melaras larasan-larasan peribadinya. Dengan penggunaan User-ID dan aplikasi telefon pintar ini juga, sistem infotainmen dan nvigasi boleh dikawal menggunakan peranti mudah alih berkenaan, manakala peta laluan van tersebut akan dipaparkan pada tablet onboard.

Volkswagen I.D Buzz Concept – jelmaan semula ‘Kombi Van’ dengan janakuasa elektrik sepenuhnya

Volkswagen mensasarkan untuk membina kenderaan-kenderaan elektrik sepenuhnya mereka dalam masa tiga tahun, menurut Dr. Herbert Diess, pengerusi ahli lembaga pengurusan Volkswagen.

“Serangan besar-besaran kenderaan berkuasa elektrik berjenama Volkswagen akan bermula pada tahun 2020 dengan model-model binaan baharu sepenuhnya. Perkara ini akan berlaku apabila kami melancarkan keseluruhan kenderaan elektrik sepenuhnya, dihubungkan sepenuhnya generasi baharu ke dalam pasaran. Menjelang 2025 kami mahu menjual satu juta unit kenderaan sedemikian setahun. Kami akan membuatkan mobiliti elektrik sebagai trademark baharu kepada Volkswagen,” katanya.

I.D Buzz Concept ini merupakan antara langkah Volkswagen dalam menuju Stretegy 2025 yang dirancang, yang akan membawa jenama tersebut untuk melancarkan 30 kenderaan elektrik sepenuhnya baharu menjelang 2025.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required