SUV kompak Jaguar yang lebih kecil dari F-Pace iaitu E-Pace bakal di prebiu untuk pasaran Malaysia semasa berlangsungnya Premium Auto Car Expo (PACE) 2018 di Pusat Konvensyen Setia City bermula 3 hingga 4 November ini. Model yang telah diperkenalkan pada Julai tahun lalu tersebut merupakan wakil Jaguar untuk berhadapan dengan model-model seperti Audi Q3, BMW X1` dan Mercedes-Benz GLA.

Walaupun ia adalah sebuah SUV, rekaan luaran E-Pace ini sebenarnya diinsprasikan dari kereta sport ikonik Jaguar iaitu F-Type terutamanya pada bahagian lampu dan gril hadapan serta lampu belakang. Berbanding F-Pace, adiknya ini menampilkan rupa yang lebih bulat, manakala dari segi saiz pula E-Pace direka dengan dimensi 4,395 mm panjang (jarak roda 2,681 mm) berbanding abangnya 4,731 mm panjang (jarak roda 2,874 mm).

Walaupun kecil, kabin E-Pace ini tetap sebuah Jaguar sebenar dengan penampilan sistem infotaimen Touch Pro bersama skrin sesentuh 10.1-inci, paparan instrumen digital 12.3-inci dan juga panel kawalan penghawa dingin seperti pada Range Rover Velar.

Bagi pasaran global, E-Pace ditawarkan dengan pilihan enjin diesel dan petrol. Namun untuk pasaran Malaysia, ia berkemungkinan besar hanya diberikan pilihan enjin petrol iaitu 2.0 liter turbo Ingenium. Enjin ini juga pada pasaran lain ditawarkan dalam dua talaan; sama ada 249 PS/365 Nm atau 300 PS/400 Nm, digandingkan bersama kotak gear sembilan-kelajuan automatik ZF dan sistem AWD. Manakala di Thailand, E-Pace hadir dengan enjin 2.0 liter Ingenium turbodiesel (150 PS/365 Nm) bersama transmisi yang sama.

GALERI: Jaguar E-Pace