Selepas melancarkan model A-Class W177 minggu lalu, nampak gayanya Mercedes-Benz Malaysia semakin agresif memperkenalkan model baharu sebelum 2018 melabuhkan tirainya.

Model baharu yang dimaksudkan ialah C-Class W205 facelift – yang didedahkan pada Julai lalu bakal tampil dengan suntikan segar bagi model kompak eksekutif yang dijangka akan dilancarkan pada suku ke-empat ini. Pembaca Daniel Chew telah mengirimkan foto yang dirakamkan ini, dengan model tersebut yang sedang diangkut dengan treler dan tidak ditutupi. Ternyata, bukan satu varian sahaja yang kelihatan, sebaliknya tiga varian, memberikan gambaran untuk barisan baharu model tersebut.

Barisan tersebut bermula dengan C 200, yang kini menampilkan penjana kuasa M264 baharu. Unit 1.5 liter twin-scroll turbo ini menawarkan kuasa 181 hp (184 PS) pada 5,800 hingga 6,100 rpm dan tork 280 Nm pada 3,000 hingga 4,000 rpm, dan menampilkan sistem elektrikal 48-voltan yang disambungkan pada belt-driven starter/alternator, yang boleh menyokong enjin dengan lonjakan 13 hp (10 kW) dan 160 Nm apabila ia diperlukan. C 200 bakal dijual di sini sebagai varian Avantgarde.

Model kedua yang dilihat menerusi foto ini ialah C 300, yang akan tiba dengan kemasan AMG Line, kerana ia adalah pre-facelift. Varian ini masih mengekalkan enjin yang sama iaitu M274 2.0 liter suntikan terus pengecas turbo dengan kuasa 241 hp (245 PS) pada 5,500 rpm dan 370 Nm dari 1,300 hingga 4,000 rpm.

Model ketiga pula Mercedes-AMG C 43 sedan, yang diberi suntikan lebih segar bersama C-Class biasa. Ia digandingkan dengan enjin 3.0 liter biturbo V6 yang kini menawarkan 385 hp, meningkat 23 hp berbanding 362 hp pada model pre-facelift.

Barisan model baharu ini juga akan dilengkapi dengan roda stereng baharu, paparan instrumen digital 12.3-inci dengan tiga pilihan gaya paparan dan juga pilihan kemasan dalaman yang lebih segar. Model tempatan ini juga menerima skrin tengah yang lebih besar, unit 10.25 inci seperti yang didedahkan menerusi foto dalaman ini.