Lexus Malaysia telah memperkenalkan semula bilik pameran utamanya di Mutiara Damansara yang kini telah siap diberikan sentuhan baru. Ini meletakkan Lexus untuk berada satu lagi langkah di hadapan dalam usaha untuk menawarkan nilai yang lebih daripada sekadar sebuah jenama automotif premium yang biasa. Kini pengunjung boleh ke premis untuk menikmati pengalaman unik gaya hidup Lexus yang telah diberi nafas baru.

Melalui penggunaan inovasi digital berteknologi tinggi, kemudahan baru ini mampu memberikan pengalaman jenama Lexus yang cukup berlainan bagi setiap pengunjung yang datang melawat. Antara pembaharuan menyeluruh yang dilakukan termasuklah penampilan jenama Lexus itu sendiri, disusuli dengan khidmat lepas jualan yang berkualiti, barisan kenderaan terpakai yang berkualiti tinggi sehinggalah kepada pembelian barangan cenderahati Lexus.

Ketika memperkenalkan imej baharu Lexus Mutiara Damansara, Presiden Lexus Malaysia, Ravindran K. berkata, pembaharuan yang dilakukan kepada bilik pameran itu membolehkan Lexus Malaysia memberikan definisi baharu terhadap nilai yang dibawa oleh jenama itu, sekali gus mempamerkannya dengan cara yang penuh eksklusif yang menjadi taruhan Lexus selama ini.

Daya tarikan yang cuba diterjemahkan oleh Lexus Mutiara Damansara ini termasuklah penggunaan haruman khusus Lexus, dikenali sebagai Wild Earth yang akan menyambut setiap pengunjung yang masuk ke dalamnya dan juga pengalaman jualan dan servis tanpa wayar yang mudah dan lancar, di mana pelanggan dan mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat yang tepat, konsisten dan terkini melalui tablet Lexus Touch.

Selain itu, ia turut menampilkan ruang dedikasi bagi penjualan cenderahati dari koleksi gaya hidup Lexus, bertujuan untuk memberi pilihan kepada pelanggan bagi menikmati aspirasi yang dibawa jenama ini, sebagai lanjutan kepada barisan kenderaan yang ditawarkan dan juga Bilik Zen di mana tetamu boleh menikmati detik-detik ketenangan untuk berehat, menggunakan kemudahan kerusi urut sambil dialunkan muzik lembut sementara menunggu kenderaan mereka diselenggarakan oleh tenaga pakar.

“Jika dilihat dari sudut mana pun, jenama Lexus serta barisan produknya tidak pernah berada dalam penawaran yang konvensional. Maka, begitu jugalah dengan pengalaman jualan dan bilik pamerannya. Dengan memperkenalkan rekaan yang inovatif bertujuan untuk memberi keterujaan serta merubah suasana dan layanan terhadap pelanggan, Lexus ingin terus kekal menjadi sebuah jenama mewah dengan pandangan yang jauh ke hadapan dan memberi kesan kepada masyarakat di sekelilingnya,” ujar Timbalan Pengerusi Lexus Malaysia, Akio Takeyama.

Lexus Mutiara Damansara yang terletak di Jalan PJU 7/2 dibuka setiap hari, mempamerkan model-model kenderaan baharu serta terpakai jenama Lexus serta menawarkan penjagaan berkualiti ke atas kenderaan-kenderaan Lexus. Untuk maklumat lanjut, layari lexus.com.my.