Sime Darby Auto Performance (SDAP), pengimport bertauliah untuk kenderaan Porsche di Malaysia, telah mengemaskini barisan produknya, yang merupakan salah satu inisiatif syarikat terbabit bagi tahun ini.

Model Porsche Cayenne dan Panamera kini didatangkan dengan Pakej Premium bahary, merangkumi tempat duduk larasan elektrik 14-hala dengan fungsi memori untuk penumpang hadapan, kawalan suhu automatik empat-zon, cermin auto-kelam, tirai suria kuasaan elektrik, pencahayaan ambien dan sistem bunyi Bose.

Selain ciri keselesaan, model ini turut didatangkan dengan Power Steering Plus dan Porsche Air Suspension Management (PASM) secara standard.

Dengan senarai kelengkapan yang dipertingkatkan, Cayenne kini ditawarkan dengan harga asas dari RM780,000, sementara Panamera pula berharga dari RM890,000. Pelanggan juga boleh memilih skim Porsche 360 Financing, dan semua kenderaan Porsche yang dijual oleh SDAP didatangkan dengan waranti empat-tahun dan pakej penyelenggaraan percuma.

“Bersama Porsche Asia Pacific, Pakej Premium untuk Cayenne dan Panamera ini adalah inisiatif untuk memperhebatkan lagi produk di samping menawarkan pemilikan yang lebih bermakna buat pelanggan,” ujar Christopher Hunter, CEO SDAP.

“Kami memberikan lebih keselesaan dan tahap sporty dalam kenderaan kami, dengan harga yang lebih kompetitif. Dengan menambahbaikkan lagi barisan produk, kami mahu memastikan tahun ini menjadi lebih hebat,” tambahnya.

“Malaysia merupakan rumah bagi Porsche Experience Centre Sepang, dan merupakan salah satu pasaran penting kami dengan kekuatan yang ada pada jenama ini,” komen Arthur Willmann, pengarah urusan Porsche Asia Pacific.

Tambahnya, “Kami sangat gembira dengan potensi masa hadapan di sini bersama rakan jangka masa panjang kami, SDAP, khususnya berkaitan dengan barisan model yang lebih kompetitif, pengembangan rangkaian jualan kami serta strategi elektrifikasi kami. Bersama-sama kita untuk menantikan pengenalan Taycan, kenderaan elektrik pertama kami yang akan datang ke pasaran pada awal tahun 2020. ”

Tahun ini juga, SDAP akan melancarkan Porsche Centre Ara Damansara baharu, diikuti dengan kenderaan semua-elektrik Taycan, yang dijangka tiba ke pasaran Malaysia pada 2020.