Bagi mengelakkan kemalangan terus berlaku di Jambatan Pulau Pinang, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menghantar kertas cadangan kepada kerajaan untuk memasang kamera had laju di laluan berkenaan. Selain itu, kamera CCTV juga akan ditambah di beberapa lokasi lain di enam lebuh raya kendalian syarikat itu.

Menurut Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail, buat masa ini Jambatan Pulau Pinang tidak mempunyai kamera had laju dan cadangan pemasangan itu bertujuan mengelak kemalangan berlaku, laporan Berita Harian.

“Setakat ini, hanya kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di jambatan berkenaan bagi memantau aliran trafik, namun kita mencadangkan untuk menambah kamera had laju. Cadangan terbabit akan diserahkan kepada kerajaan selepas laporan penuh siasatan kemalangan membabitkan kenderaan utiliti sukan (SUV) terhumban ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang pada hujung minggu lalu, diperoleh,” ujarnya hari ini.

Walau bagaimana pun, katanya lagi, PLUS hanya melaksanakan pemasangan kamera tetapi pemantauannya kelak akan dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Tambahnya lagi, pihaknya juga akan melihat semula keperluan untuk mengurangkan kadar had laju dan ketinggian tembok penghadang di Jambatan Pulau Pinang bergantung kepada laporan siasatan. Buat masa ini, had laju di jambatan itu ialah 80 kilometer sejam dan tembok berkenaan juga mengikut piawaian antarabangsa British Standard (BS 5400) yang ketinggiannya satu meter.

Dalam pada itu, Azman berkata kadar kemalangan maut di Jambatan Pulau Pinang merekodkan penurunan sebanyak 54% iaitu enam kes pada tahun lalu berbanding 13 kes pada 2017. Manakala bagi kes kemalangan biasa pula, sebanyak 332 kes direkodkan tahun lalu berbanding 345 kes pada tahun sebelumnya, iaitu pengurangan sebanyak empat peratus.