Sempena Tahun Baharu Cina (TBC) yang bakal disambut minggu hadapan, Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn Bhd (KESTURI) telah mengumumkan pemberian diskaun tol pada kadar 30% di Lebuhraya Duta – Ulu Kelang yang dikendalikannya. Diskaun tol tersebut dibuka kepada semua kenderaan kelas 1 selama 24 jam pada 5 Februari 2019 ini, bermula jam 12 pagi hingga 11.59 malam.

Menurut kenyataan yang dihantar, diskaun tersebut adalah sebagai salah satu inisiatif Khidmat Sosial Korporat (CSR) syarikat kepada pengguna lebuhraya terbabit.

Pengarah Eksekutif KESTURI, Tan Sri Datuk Seri Lim Keng Cheng berkata, jumlah tersebut menyaksikan peningkatan daripada kadar diskaun tol pada TBC berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Jumlah diskaun tersebut jelas dapat mengurangkan perbelanjaan pengguna dan dalam masa yang sama memberikan nilai pulangan bayaran yang lebih rendah,” ujarnya.