Kita biasa baca berita-berita berkenaan kereta-kereta dengan rekaan ciplak di China yang biasanya meniru rekaan model-model Eropah yang lebih mahal bukan? Ini ada pelik sikit – SUV Yema Bojun ini baharu sahaja diperkenalkan dan ia adalah ‘copy ori’ dari model senegaranya iaitu Geely Boyue!

Lampu hadapan Bojun ini direka hampir sama dengan bentuk pada Boyue, namun gril expanding cosmos Geely di gantikan dengan gril jalur-jalur krom melintang. Manakala bampar hadapan pula direka dengan ‘inspirasi’ dari Boyue sebelum facelift, tetapi lampu kabusnya dialihkan lebih ke bawah.

Pengaruh Boyue terus diterapkan pada bahagian sisi di mana garis-garis sisi terutama pada pintu di tiru terus, selain bentuk pada cermin tingkap sisi belakang dan juga tiang-D yang direka seiras menampilkan rupa seakan bumbungnya terapung.

Di belakang pula, lampu Bojun ini direka lebih ‘tebal’ tetapi bar krom yang menghubungkan kedua-dua sisi lampu berkenaan adalah jelas seperti Boyue. Ciri-ciri lain seperti bampar belakang dan spoiler bumbung adalah seiras dengan Geely Boyue.

Walaupun nampak seakan sama, Yema Bojun ini sebenarnya sedikit kecil berbanding Geely Boyue. Model ciplak ini direka dengan dimensi 4,360 mm panjang, 1,830 mm lebar, 1,680 mm tinggi dan jarak roda 2550 mm, berbanding Boyue sebenar dihasilkan dengan ukuran 4,519 mm panjang, 1,831 mm lebar dan 1,694 mm tinggi serta jarak roda 2,670 mm.

Namun pada bahagian dalaman, SUV dari Yema ini menampilkan rupa yang lebih tersendiri, berbeza dari model dari Geely berkenaan. Bojun menerima skrin infotaimen bersaiz lapan-inci, diapit oleh liang penghawa dingin, berbeza dengan Boyue di mana liang tersebut terletak di atas skrin. Selain itu, Bojun turut menerima panel instrumen dan kawalan penghawa dingin digital sepenuhnya.

Dua pilihan janakuasa diberikan untuk ‘Boyue palsu’ ini iaitu enjin 1.5 liter NA berkuasa 112 hp digandingkan dengan kotak gear lima kelajuan manual, dan juga versi 1.5 liter turbo berkuasa 156 hp dipadankan dengan kotak gear CVT automatik.

Sebagai perbandingan, Geely Boyue pasaran China ditawarkan dalam tiga versi janakuasa. Versi 2.0 liter NA diberikan enjin empat silinder berkuasa 139 hp/178 Nm. Untuk versi turbo pula, ia dipadankan dengan enjin 1.8 liter tetapi dengan dua pilihan kuasa – 161 hp/250 Nm (hanya transmisi enam-kelajuan manual) dan 181 hp/285 Nm (hanya diberikan kotak gear enam-kelajuan automatik).