Semasa pameran Seoul Motor Show 2019, Renault Samsung Motors (RSM), iaitu sebuah syarikat milik bersama Renault (80.1%) dan Samsung (19.9%) telah menunjukkan sebuah kereta konsep yang dinamakan sebagai XM3 Inspire.

Model yang menggunakan bentuk SUV Coupe ini sebenarnya menggunakan asas daripada model konsep Arkana, yang pernah ditunjukkan waktu Moscow International Motor Show, dan ia mempunyai bentuk yang sama – bumbung menjunam di belakang, garis badan tepi yang tinggi, jalur krom di bawah pintu serta bumbung kaca.

Sementara bahagian atas kenderaan ini lebih kepada elegan seperti sedan, bahagian bawah pula dijadikan lebih lasak seperti SUV, dengan kedudukan yang tinggi, lengkuk roda besar serta rim 19 inci. Melengkapkan semuanya adalah muncung ekzos aluminium berkembar di belakang.

Walaupun begitu, masih terdapat beberapa bahagian pada XM3 Inspire ini yang diubah untuk menjadikannya lebih unik, seperti gril, bampar dan rim tersendiri, warna putih mutiara, serta jalur warna oren pada gril, bawah pintu dan bampar belakang.

Menurut RSM, XM3 Inspire ini memberi gambaran awal kepada model yang akan dilancarkan pada separuh pertama tahun 2020 di Korea Selatan, namun ia juga nanti akan menjadi penyumbang kepada perkembangan antarabangsa Renault, yang membawa maksud pasaran lain juga akan mendapat SUV Coupe seperti ini.