Bagi menunaikan janji yang diperkatakan pada hujung tahun lalu, kerajaan Terengganu setuju untuk memperuntukkan RM7 juta untuk pelaksanaan program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) 2019. Ia bakal memberikan manfaat kepada 25,000 belia berusia antara 16 hingga 40 tahun di negeri tersebut.

Memetik laporan Berita Harian, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata belia yang layak akan diberikan bantuan RM300 untuk mengambil lesen motosikal secara percuma.

Walau bagaimana pun, sejak gerak kerja program itu berjalan awal tahun ini, lebih 49,000 permohonan diterima di seluruh negeri untuk menyertai program itu, sekali gus memaksa kerajaan negeri melakukan saringan.

Wan Sukairi berkata, mereka yang gagal kali ini akan diberi keutamaan untuk permohonan program LMTS pada tahun depan.

“Kita harap tahun depan kerajaan negeri dapat melaksanakan program ini dengan bajet yang akan dikemukakan dan dicadangkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti. Kerajaan juga sudah menyatakan komitmen untuk melaksanakan program ini setiap tahun. Bagi mereka yang gagal kali ini, boleh memohon sekali lagi tahun depan dan mereka akan diberi keutamaan,” katanya.