Walaupun nampak seperti sudah lesu dalam pasaran, Suzuki Malaysia sebenarnya masih lagi beroperasi dan cuma memberi tumpuan kepada model berkapasiti tinggi yang diimport terus (CBU). Antara yang paling baru tiba di Malaysia adalah SV650X. Harga jualan asas yang dikeluarkan adalah RM44,800.

SV650X sebenarnya menggunakan asas daripada SV650 biasa yang juga dikenali sebagai Gladius di beberapa negara, tetapi bentuk luarnya dijadikan lebih kepada sebuah cafe racer. Antara bahagian yang berbeza adalah panel lampu hadapan, panel di tepi tangki minyak, tempat duduk dengan jahitan bertekstur dan penutup tempat duduk belakang.

Untuk enjin, ia masih lagi menggunakan unit dua silinder 645 cc DOHC yang berkuasa 75 hp dan 64 Nm tork, dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan. Untuk bahagian meter, ia menggunakan panel LCD yang memaparkan segala informasi penting motosikal.

Motosikal ini dilengkapi dengan rim 17 inci bersama tayar 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang, manakala untuk suspensi bahagian hadapan menggunakan fork teleskopik biasa dan di belakang menggunakan monoshock. Kuasa membrek datang daripada tetapan cakera berkembar 290 mm serta angkup dua piston di hadapan manakala di belakang terdapat cakera 240 mm dengan angkup satu piston. Kedua-duanya disambung dengan sistem ABS>

Perincian lain untuk SV650X adalah termasuk berat 198 kg, tangki bahan api 14.5 liter, tinggi 790 mm dan jarak roda 1,445 mm. Ia tiba di Malaysia dalam dua warna iaitu Glass Sparkle Black/Pearl Glacier White dan Glass Sparkle Black/Metallic Grey