Jangan tak tahu, Skoda pun ada angan-angan untuk bangunkan trak pikap. Model konsep ini, Skoda Montiaq, diasaskan daripada sebuah lagi model jenama itu, SUV Kodiaq. Trak ini mempunyai dimensi 4,999 mm panjang, 2,005 mm lebar dan 1,710 mm tinggi.

Jarak antara roda pula ialah 2,788 mm dan berat keseluruhan 2,450 kg. Jarak kelegaan tanah pula 290 mm, dengan rim 17-inci Rockstar II. Enjin menggunakan unit 2.0 liter TSI empat-silinder seperti Kodiaq, menghasilkan 190 PS dan 320 Nm tork. Ia digandingkan pula dengan transmisi DSG tujuh-kelajuan dan sistem pacuan semua roda.

Rekaan projek khas ini dihasilkan oleh 35 orang tenaga perintis dalam Skoda (termasuk enam perempuan) dan disokong oleh tanaga pakar dari bahagian Rekaan, Pengeluaran dan Pembangunan Teknikal Skoda sendiri.

Umumnya, Mountiaq masih mengekalkan banyak ciri rekaan dari Kodiaq, tetapi diberikan penampilan lebih rugged sesuai dengan imej trak pikap yang ingin dibawanya. Bampar depan misalnya, siap dengan bullbar tebal dan juga alat winch prestasi tinggi. Lampu tambahan juga banyak disediakan, terutama pada bahagian bampar, bumbung dan di ruang barangan belakang.

Bahagian truck bed juga mempunyai banyak ruang simpanan kecil yang berasingan. Warna Sunset Orange yang digunakan juga merupakan warna khas. Bahagian dalam antara lain mempunyai ciri peti sejuk. Head unit dengan skrin sentuhnya disambung kepada satu set pembesar suara 320-watt yang dipacu oleh amplifier 2,000-watt dan sebuah lagi subwoofer 2,000-watt.

Secara keseluruhannya, pasukan berkenaan mengambil masa selama lapan bulan dan lebih daripada 2,000 jam untuk membangunkan Skoda Mountiaq ini. Anda rasa, trak pikap ini nampak cukup menarik atau sebaliknya?