Sempena sambutan Hari Bapa baru-baru ini, Toyota telah menghasilkan video istimewa memaparkan sedan ‘ayah-ayah’ yang sedikit lebih besar dari Camry untuk pasaran Amerika Syarikat iaitu Toyota Avalon. Video tersebut dibintangi pemandu Formula D Ken Gushi bersama atlit paralimpik Jarryd Wallace dan ayahnya, Jeff Wallace, menyajikan aksi-aksi drift.

Toyota Avalon yang digunakan oleh Ken Gushi kali ini adalah dari versi Avalon TRD yang telah didedahkan hujung tahun lalu. Dan tidak seperti Toyota Corolla dipandu Fredric Aasbo yang telah pun diubahsuai secara ekstrem bagi mengubah pacuannya ke roda belakang, Avalon ini masih menggunakan enjin dan transmisi standard memacu roda hadapan.

Toyota hanya membuat pengubahsuaian pada sistem brek, dengan memadankan tuil brek tangan untuk mengunci roda belakang bagi memulakan aksi drift kerana Avalon TRD standard menggunakan brek parkir elektronik. Dengan skil tinggi Ken Gushi, sedan besar berkenaan mampu menggelangsar seakan kereta pacuan roda belakang dengan asap yang banyak.

Avalon TRD didedahkan serentak dengan Camry TRD pada November 2018. Walau bagaimanapun, ia hanya akan tiba ke bilik pameran di pasaran Amerika Syarikat pada Ogos tahun ini, diikuti Camry TRD sebulan selepasnya. Berbanding model standard, versi yang diasaskan dari Avalon XSE ini menampilkan kit badan yang jauh lebih agresif, bersama set rim TRD 19 x 8.5-inci dihasilkan 8.1 kg lebih ringan dari set rim asal.

Ia masih dijana enjin asal iaitu unit V6 2GR-FKS menghasilkan 301 hp/363 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan. Namun Toyota menyatakan bahawa versi TRD ini memberikan bunyi enjin yang ‘lebih merdu’ menerusi pemadanan sistem ekzos cat-back dengan dua tip ekzos krom yang lebih besar dari standard.

Versi TRD ini juga menampilkan set penyerap hentak khas yang telah ditala semula, bersama spring baharu yang merapatkan badan sedan tersebut ke permukaan tanah sebanyak 0.6-inci – bukan sahaja untuk mendapatkan stance yang lebih agresif, malah turut memperbaiki titik gravitinya. Brek hadapan juga dipertingkat dengan penggunaan cakera 12.9-inci dan angkup dua omboh berwarna merah berbanding cakera 12-inci dan angkup omboh tunggal pada model standard.

Menurut Toyota, “talaan litar” yang diberikan pada Avalon dan Camry TRD ini dihasilkan oleh jurutera TRD yang memberikan karekteristik baharu kepada kedua-duanya menerusi pembangunan dan ujian ekstensif di litar ujian Toyota Arizona, litar ujian TMC Higashi-Fuji di Jepun dan juga Motorsport Ranch di Texas, Amerika Syarikat.

GALERI: Toyota Avalon TRD 2020