Seperti ramai sedia maklum, sejak Proton memilih Geely sebagai rakan strategik, pengeluar kereta nasional ini ternyata makin gigih mengatur pelbagai langkah dan strategi demi memastikan produk keluarannya mampu berdaya saing dalam pasaran. Lihat saja kemunculan X70, memang boom! dan kini memonopoli pasaran bagi segmen SUV di Malaysia.

Walau bagaimana pun, pengenalan terhadap model facelift Iriz dan Persona tidak dipandang enteng atau sekadar melepaskan batuk di tangga. Proton mahu memastikan, pengeluaran bagi kedua-dua model facelift berkenaan menepati kehendak dan citarasa pelanggan, sekaligus membantu memperkukuhkan kedudukannya di pasaran automotif tempatan.

Sebelum ini, kami pernah mengulas mengenai sesi pandu uji Iriz 2019, jadi tak adillah rasanya kalau kami tidak berbuat demikian untuk Persona 2019. Untuk anda yang mungkin mahu membeli kereta dengan bajet yang sederhana, ulasan ini mungkin boleh dijadikan panduan dalam membuat pilihan.

Bagi barisan Persona 2019, ia didatangkan dengan varian Persona 1.6L Standard MT (RM42,600), Persona 1.6L Standard CVT (RM44,600), Persona 1.6L Executive CVT (RM49,600) dan Persona 1.6L Premium CVT yang kami pandu uji ini dan berharga RM54,600. Ia adalah harga atas jalan dan tidak termasuk insurans.

Sewaktu majlis pelancarannya, Proton memaklumkan, Persona turut diberikan penawaran yang lebih baik dari segi kelengkapan, spesifikasi dan penambahbaikan, dengan pertambahan nilai sebanyak RM1,400, tetapi harganya diturunkan sekitar RM600. Kira untunglah kan.

Bagi model baharu sebegini, pasti orang nak tahu, apakah ciri dan elemen yang baharu, dikemaskini dan dipertingkatkan. Untuk Persona 2019, ia bukan sekadar dikemaskini gaya luarannya, bahkan telah menerima sebanyak 303 pembaharuan termasuk dari sudut elektronik dan NVH.

Sebelum mengulas mengenai perincian mekanikal dan prestasi sedan sederhana bajet rendah ini, kita tengok ciri yang dipertaruhkan untuk bahagian luaran dan dalamannya.

Suntikan kosmestik bagi bahagian luaran diberikan menerusi penampilan gril baharu yang rekaannya senada dengan SUV X70, berilhamkan busur panah dan juga elemen ‘infinite weave’. Bambar hadapannya juga direka semula, namun lampu utamanya masih mengekalkan unit halogen reflektor.

Walau bagaimana pun, Persona 2019 ini tidak diberikan lampu kabus tapi digantikan dengan lampu nyalaah siang LED yang nampak lebih ‘mewah’, melintang pada kemasan liang udara sisi yang direka lebih kecil.

Rekaan rim aloi baharu turut ditampilkan tapi masih dikekalkan saiznya iaitu 15-inci yang dibaluti tayar Silverstone Kruizer 185/55R15. Menjengah belakangnya pula, semua varian kini hadir standard dengan spoiler but halus berwarna hitam. Kemasan krom di atas plat nombor pendaftaran kini tidak lagi berwarna krom, sebaliknya diberikan warna badan, dan disertakan dengan perkataan ‘PROTON’ seperti X70 dan Iriz.

Kemasan diffuser pada bahagian bawah bampar belakang turut diberikan rekaan baharu ini yang kelihatan kurang bersegi, lebih nipis, labuh hingga ke bawah, serta diberikan satu jalur krom merentanginya.

Kalau dilihat secara keseluruhan untuk wajah Persona 2019 ini, ia memang kurang sentuhan sporty, tidak seperti adiknya, Iriz 2019. Mungkin bersesuaianlah untuk dijadikan pilihan golongan berkeluarga atau pun sesiapa sahaja yang tak berapa kisah imej atau prestasinya, asalkan harganya menepati bajet.

Menjengah bahagian kabinnya, tidak banyak perubahan yang dilakukan. Konsep warna dua tona hitam-kelabu masih dikekalkan. Namun sedikit peningkatan dalaman seperti paparan meter baharu dengan menampilkan nombor-nombor pada meter utama yang lebih jelas dengan nyalaan lampu berwarna putih. Bukan itu sahaja, dua varian tertingginya turut dilengkapi skrin pelbagai info TFT berwarna.

Gabungan material kulit dan fabrik dengan elemen corak timbul pada tempat duduk juga menyegarkan lagi imej dalamannya. Ciri-ciri lain yang turut dipadankan termasuklah butang penghidup enjin, stereng pelbagai fungsi, skrin sesentuh sistem infotaimen tujuh-inci, port USB di hadapan dan belakang serta empat-pembesar suara.

Ciri ekstra untuk varian Premium termasuklah stereng, tombol gear bersama gaiter balutan kulit, cermin pandang belakang dengan bingkai lutsinar, dan juga lampu hadapan automatik.

Bukan itu sahaja, seperti mana X70 dan Iriz, daya tarikan utama Proton turut ditampilkan pada varian tertinggi Persona ini iaitu sistem arahan suara ‘Hi!Proton’ lengkap dengan kad sim membolehkan ia membekalkan Internet 4G.

Sambil memandu tu, bolehlah ‘bersembang’ dengan ‘awek arahan suara’ ni. Nak suruh dia carikan lagu kegemaran anda, ramalan cuaca, suhu luaran dan beberapa fungsi lain. Tapi sistem arahan suara ini tidak sesempurna yang diberikan pada X70, kerana ia tidak dihubungkan pada sistem elektronik kenderaan.

Sewaktu pandu uji model ini ke Terengganu, kami terlepas konvoi dan tersilap ikut jalan lain. Mujurlah ada sistem navigasi yang berfungsi secara dalam talian, dan memudahkan kami untuk cari lokasi yang dituju, tanpa menggunakan aplikasi Waze atau Google Map menerusi telefon pintar.

Nak elak kebosanan sewaktu dalam kenderaan, mesti ramai yang memilih untuk mendengar lagu. Tak perlu lagi guna aplikasi Spotify untuk dihubungkan kepada sistem infotaimen ini kerana hubungan Cloud menggunakan Internet 4G padanya menawarkan pilihan streaming muzik tanpa had.

Okay, kita beralih pula pada prestasi dan pengendalian Persona 2019 ini. Seperti mana yang diketahui, ia masih dijanakan oleh enjin 1.6 liter VVT dengan hamburan kuasa 107 hp dan tujahan tork maksima 150 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear sama ada manual lima-kelajuan atau CVT automatik.

Apabila Proton memberitahu, bahagian enjin, kotak gear CVT dan brek yang ditala semula bagi memberikan penjimatan untuk bahan api sekitar 3% hingga 4%, maka perasaan teruja untuk mengujinya.

Diakui enjin 1.6 liter ini cukup untuk memacu sedan sederhana seperti Persona ini, asalkan anda bukanlah seorang pemandu yang memanjang memandu dalam keadaan agresif atau gemarkan kelajuan tinggi secara mendadak. Jika hendak mempertingkatkan kelajuan, kerahan pada pedal pendikit perlu dilakukan tetapi tidaklah begitu dirasai ‘jantungnya cepat semput’.

Walau bagaimana pun, sewaktu hendak memotong kenderaan lain, momentum pergerakannya tidak begitu memberangsangkan. Begitu juga ketika melalui jalan berbukit. Tetapi tidaklah sampai terasa ia ‘under power’, masih mampu melonjakkan kuasa tetapi memang sekadar sederhana. Pendek kata, enjinnya masih bersifat sederhana tetapi lonjakan prestasinya boleh dianggap optimum.

Manakala padanan kotak gearnya juga lebih responsif, tidak seperti sebelum ini yang sedikit ‘kurang bermaya’ dan selalu mengaum tak tentu hala. Ini kerana kotak gear yang ditala semula dengan input dari Geely dan usaha Proton sendiri dalam mengemaskini komponen tersebut agar menjadi lebih baik berbanding sebelum ini.

Ketika kereta dipandu dalam kelajuan sederhana, dan tiba-tiba memecut untuk menambah kelajuan, anjakan gear terus diturunkan apabila pedal pendikit ditekan agresif. Bukan itu sahaja, masalah mengaum dari CVT Punch telah dapat diatasi dengan talaan baharu tersebut menjadikannya ia beroperasi secara lebih senyap.

Walau bagaimana pun, untuk bahagian pengendalian, ia masih sama seperti sebelum ini. Ia memiliki karakteristik yang boleh dianggap antara terbaik dalam kelasnya. Lain-lain bahagian mekanikal termasuk sistem suspensi juga bersifat sederhana. Masih mampu menyumbang keselesaan ketika dalam pemanduan.

Dalam perjalanan ke Tanjung Jara, Terengganu tempoh hari, banyak juga jalan kampung yang harus dilalui. Jadi tidak boleh memandu dalam kelajuan tinggi demi keselamatan bersama. Tapi sesekali pemanduan teruji apabila terdapat halangan di jalan termasuk sekumpulan lembu yang tiba-tiba melintas, jadi di sinilah sistem Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) teruji. Kereta mampu kekal stabil dan boleh dikawal biar pun terpaksa brek mendadak dalam kelajuan sekitar 80-100km/j. Selain ESC, bagi aspek keselamatannya, Persona 2019 turut dilengkapi dengan enam beg udara, ABS dengan EBD dan Isofix.

Bagi NVH pula, memang tidak dinafikan, talaan semula sistem tersebut lebih memuaskan. Kotak gear tidak mengaum tidak tentu hala seperti mana model terdahulu, bunyi daripada enjin dan seretan tayar berada dalam skala sederhana, begitu juga dengan getaran kenderaan sewaktu bergerak. Jadi, usaha Proton dalam menala semula sistem NVH ini wajar dipuji, ternyata mereka tidak mengambil mudah soal ini selepas menerima banyak kritikan mengenainya menerusi model-model sebelum ini.

Walau bagaimana pun, hakikatnya tidak begitu banyak yang boleh dikatakan mengenai pengendalian Persona 2019 ini kerana ia tidak banyak berbeza dengan model sebelum ini. Jadi faktor-X yang boleh dipertaruhkan untuknya cuma sedikit perubahan kosmetik luar dan dalam, begitu juga dengan beberapa sentuhan ciri yang diperkemaskinikan selain beberapa sistem elektrikal dan mekanikal yang ditambahbaik.

Secara konklusi, Persona 2019 layak untuk dimasukkan dalam senarai pilihan sekiranya anda hanya mempunyai bajet sekitar bawah RM60,000 untuk memilik sedan sederhana. Selain anda mempunyai pilihan lain termasuk Perodua Bezza dan kalau ada bajet lebih, mungkin patut mempertimbangkan Honda City pula.