Kerajaan berkata industri automotif tempatan juga perlu memfokuskan sektor pembuatan dan eksport bagi alat ganti dan komponen kenderaan buatan Malaysia, bukan setakat mengeluar dan memperkenalkan model kenderaan baharu.

Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Darell Leiking, ini akan memastikan pengeluaran dan eksport bahagian-bahagian dan komponen kenderaan buatan Malaysia berkembang seiring dengan pengeluaran kenderaan berkualiti tinggi.

“Pembuatan bahagian-bahagian dan komponen kenderaan adalah sama pentingnya dengan kejayaan industri automotif, kerana ia mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan kerjaya bagi rakyat Malaysia dalam rantaian automotif bernilai tinggi. Ia pada dasarnya adalah elemen yang menentukan produk akhir,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

Tambahnya lagi, proses pembuatan yang pelbagai, kepelbagaian pengkhususan dan tahap kerumitan yang berbeza berbanding pemasangan kenderaan menjadikan bahagian-bahagian dan komponen sebagai sektor sasaran utama untuk merangsang kecekapan tempatan dalam sains, kejuruteraan dan penggunaan teknologi, terutamanya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana Malaysia.

Malah beliau turut menekankan tentang kepentingan pertumbuhan berterusan dan holistik dalam pengembangan kapasiti dan keupayaan pengeluar automotif Malaysia ketika pasaran global beralih kepada produk automotif dan mobiliti baharu serta model pemilikan.

“Meskipun MITI berusaha keras untuk menangani kebimbangan dalam kalangan pihak tertentu industri tentang kesediaan kita untuk membangunkan produk berteknologi tinggi seperti teknologi autonomi, kita tidak menafikan gangguan seumpama itu akan kelaknya menyebabkan keupayaan kita menjadi lapuk pada masa depan.

“Satu-satunya cara kehadapan adalah usaha sepenuhnya daripada industri, kerajaan dan sektor penyelidikan untuk mengikhtiarkan penyelesaian baharu bagi memastikan kita mencapai tahap pematuhan yang sewajarnya kepada permintaan pasaran global,” katanya.

Sementara itu, Darell menggesa perniagaan untuk menyertai pelbagai program kerajaan bagi meningkatkan keupayaan mereka dalam aktiviti huluan seperti reka bentuk produk dan proses bagi memastikan mereka mengoptimumkan nilai yang diperoleh daripada perdagangan dan eksport bahagian-bahagian dan komponen.

“Kerajaan telah meningkatkan kapasiti pembekal alat ganti dan komponen Malaysia, terutamanya dalam melaksanakan amalan Sistem Pengeluaran Lean (LPS) dalam kebanyakan barisan pengeluaran rantaian automotif tempatan, menerusi program kerajaan yang dirumuskan oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii),” katanya.

Beliau berkata perniagaan automotif juga kini mempunyai akses lebih meluas kepada latihan dan kemudahan yang memenuhi proses pembangunan automotif huluan seperti penggayaan, reka bentuk kejuruteraan, pengesahan reka bentuk, pengujian pelepasan gas serta alatan augmented reality, yang boleh diakses menerusi pusat kecemerlangan seperti Pusat Ujian Emisi Kebangsaan (NETC) dan Pusat Reka Bentuk MARii.

Sektor alat ganti dan komponen Malaysia mencatatkan eksport berjumlah RM6.76 bilion dalam separuh pertama 2019, mencapai 52% daripada sasaran tahun penuhnya sebanyak RM13 bilion yang ditetapkan pada permulaan tahun. Ia mencatatkan pertumbuhan eksport menakjubkan dalam tempoh lima tahun lepas berkembang daripada RM4.7 bilion pada 2014 kepada RM12.1 bilion pada 2018.