Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) telah menyita 21 buah kereta mewah kerana didapati menyeleweng dokumen pengimportan. Ia melibatkan enam buah Lamborghini Huracan, tujuh Toyota Vellfire, empat Toyota Estima, dua Mercedes Benz CLS350 dan masing-masing satu model BMW 525i dan Toyota Alphard.

Semua kereta berkenaan diimport dari United Kingdom dan Jepun. Ia disita oleh sepasukan anggota dan pegawai JKDM, Unit III (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), Zon Tengah dalam dua serbuan berasingan di dua buah syarikat pengimportan kenderaan di Shah Alam, Selangor pada 29 Mei lalu.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Azimah Abd Hamid, semua kereta berkenaan dianggarkan bernilai RM12.2 juta berdasarkan nilai semasa termasuk duti dan cukai. Pihaknya terpaksa menyita kenderaan berkenaan untuk disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu tidak mempunyai Lesen Import yang sah semasa pengimportannya.

“Siasatan juga mendapati, dua syarikat berkenaan cuba menyeleweng dokumen dengan mengikrar tarikh pengilangan yang tidak benar atau usia kereta yang tidak benar. Hasil siasatan juga mendedahkan, kereta yang disita melanggar syarat Lesen Import dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITl),” katanya seperti dilaporkan oleh Harian Metro.

Sambungnya lagi, bagi kes serbuan pertama, pihaknya menyita lapan kereta mewah iaitu Toyota, Mercedes Benz dan BMW dengan anggaran nilai kereta sebanyak RM340,000 dan jumlah duti serta cukai yang cuba dielakkan sebanyak RM644,000. Kesemua kereta berkenaan didapati disimpan dalam gudang berkenaan lebih dua tahun selain belum didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sementara itu, dalam serbuan kedua pula, sebanyak 13 kereta mewah disita termasuk enam Lamborghini dengan nilai anggaran kereta adalah RM3.8 juta dan duti serta cukai yang cuba dielakkan sebanyak RM7.5 juta.

“Berdasarkan nilai semasa, sebuah Lamborghini Huracan dipasarkan pada harga RM1.9 juta. Siasatan mendapati, tarikh keluaran Lamborghini adalah pada 2016 dan 2017 namun, syarikat berkenaan menyeleweng dokumen dengan memalsukan tarikh keluaran antara 2012 hingga 2014,” katanya.

Katanya, tindakan menyeleweng tarikh keluaran itu bagi mengelak cukai lebih tinggi dibayar kerana apabila usia kereta lebih lama, maka cukai yang perlu dibayar kepada kastam adalah lebih rendah. Pihaknya mendapati syarikat berkenaan pernah terbabit dalam kesalahan sama sebelum ini dan sudah beroperasi lebih lima tahun.

Jelasnya lagi, jika disabit kesalahan, syarikat berkenaan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM50,000 mana lebih tinggi dan tidak lebih 20 kali nilai barangan atau RM500,000 mana yang lebih tinggi atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan kali pertama.

Bagi kesalahan kedua pula, Azimah berkata, denda tidak kurang daripada 20 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 mana yang lebih tinggi dan tidak lebih daripada 40 kali ganda nilai barangan atau RM1 juta mana yang lebih tinggi atau dipenjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.