Pencarian Pelumba Wanita MSF-R3 – empat finalis

Selepas beberapa siri ujian intensif, Malaysia Speed Festival (MSF) dan Proton R3 telah pun mengumumkan empat finalis yang dipilih untuk berlumba dalam pasukan Proton R3 sewaktu perlumbaan Sepang 1000 km 24 November nanti. Mereka adalah Dayangku Faratiwan Adnil, Nurul Husna Nasharuddin, Ng Aik Sha dan Samanda Lee.

Cabaran seterusnya, mereka akan diuji memandu Proton Suprima yang dibina oleh Proton R3 25 September ini dan kemudiannya diberikan peranan yang bersesuaian dalam pasukan lumba itu. Walaubagaimanapun semasa perlumbaan sebenar nanti, mereka akan menggunakan kereta ketiga pasukan Proton R3, iaitu sebuah Iriz.

“Secara jujurnya, agak sukar untuk memilih finalis ini. Saya boleh katakan mereka semua mempunyai kelebihan yang tersendiri. Ada beberapa kriteria yang perlu dinilai untuk pemilihan akhir, dan semuanya hanya boleh dilihat melalui aktiviti latihan pemanduan, di mana ketelitian adalah sangat penting untuk memastikan kemenangan,” kata ketua pasukan Proton R3, Gary Lee.

Pencarian Pelumba Wanita MSF-R3 – empat finalis

“Dalam keadaan pemanduan mencabar di mana pertukaran berat yang agresif diperlukan, waktu itulah anda akan dapat melihat siapa yang memandu lancar dan tenang. Karekter ini hanya boleh ditemui pada mereka yang boleh fokus dengan baik,” tambah Gary.

“Melihat pelumba MSF dinilai dan dipilih untuk program ini adalah satu pencapaian yang membanggakan bagi kami. Kami rasa sangat dihargai apabila diberi peluang oleh Proton R3 untuk memilih calon program ini – dan kami bangga dengan wanita yang dipilih untuk menyertai pasukan lumba Malaysia yang mempunyai rekod cemerlang ini,” kata ketua MSF Series Adian Yein.