Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) mempunyai pusat pembelajaran mereka sendiri yang dikenali sebagai PEKEMA Learning Centre. Kini, ia telah dinamakan semula sebagai PEKEMA Academy Sdn Bhd dan menyediakan platform sebagai pusat latihan dan perundingan bersepadu untuk ahlinya.

Melangkah lebih ke hadapan, PEKEMA Academy juga sekarang menawarkan tiga kursus Diploma Profesional, yang diadakan dengan kerjasama UTMSPACE iaitu Diploma Profesional Kecekapan Diagnostik Auto, Diploma Profesional Perunding Jualan Auto dan Diploma Profesional Strategi dan Perancangan Perniagaan.

Walaupun asalnya dibuka untuk ahli PEKEMA, pemegang AP dan juga pemegang francais, kursus Diploma Profesional ini bagaimanapun sekarang juga dibuka kepada orang awam. Ia memberi peluang kepada mereka yang sudah bekerja dalam industri untuk mendapatkan Diploma yang berkaitan dengan masa yang lebih fleksibel berbanding kursus Diploma biasa di institusi pengajian lain.

Kursus yang ditawarkan oleh PEKEMA Academy ini akan bermula pada Januari 2020, dengan sasaran minimum 30 orang peserta dan yuran bawah RM10,000. Semua kursus ini akan mengambil masa setahun untuk lengkap, tetapi pengajaran cuma dilakukan pada hujung minggu dan lebih memberikan fokus kepada praktikal.

Tenaga pengajar pula datang daripada warga PEKEMA sendiri yang mempunyai pengalaman luas dalam industri automotif, dan disertai oleh fasilitator dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk beberapa topik pembelajaran tertentu. Apabila lengkap, sijil itu akan dikeluarkan oleh UTMSPACE dan mendapat pengiktirafan daripada UTM serta Kementerian Pelajaran Malaysia.

Setakat ini UTMSPACE sudah mempunyai 27 “rakan kongsi pusat kerjasama” dari bermacam industri untuk menyediakan kursus seperti ini, namun PEKEMA Academy adalah yang pertama untuk industri automotif.