Flux tawarkan servis langganan kereta di M’sia – dari Kia hingga BMW, harga bermula RM814 sebulan

Flux tawarkan servis langganan kereta di M’sia – dari Kia hingga BMW, harga bermula RM814 sebulan

Cuba bayangkan, anda boleh tukar-tukar kereta setiap bulan, dan pilihannya ada banyak, daripada kereta biasa seperti Kia Picanto hinggalah kereta mewah seperti BMW 530i. Itulah yang ditawarkan oleh sebuah syarikat langganan kereta yang baru dilancarkan di Malaysia, Flux.

Tidak seperti sesetengah syarikat baru lain, produk yang ditawarkan oleh Flux ini bukanlah ditiru daripada sesuatu yang sudah sedia ada. Langganan kereta adalah satu fenomena baru, dan banyak syarikat kereta pernah menggunakannya sebagai eksperimen untuk menyediakan kereta kepada golongan muda yang tidak begitu berminat untuk memiliki kenderaan seperti biasa.

“Sukar untuk percaya pada tahun 2019 ini, satu-satunya cara menarik secara kewangannya untuk warga Malaysia memiliki kereta adalah melalui pinjaman sewa beli. Ini kerana membeli kereta, iaitu satu aset yang susut nilai dengan tinggi, adalah satu keputusan kewangan yang paling buruk boleh dibuat oleh isi rumah,” kata pengasas dan ketua pegawai eksekutif Flux, Aziz Ayman.

“Saya menubuhkan Flux untuk mencabar kedudukan status dan menawarkan alternatif yang lebih baik berbanding pinjaman kenderaan biasa, di Malaysia. Di Flux, kami teruja untuk menjadi peneraju cara baru untuk mendapatkan segala manfaat memiliki kenderaan, tanpa kosnya. Kami bangga untuk mencabar cara pemilikan kereta biasa, dengan bekerja bersama kumpulan automotif besar tempatan. Bersama, kami tawarkan anda kebebasan memilih yang sangat senang. Dalam kata ringkasnya, Flux adalah cara mudah untuk ‘memiliki’ kenderaan,” kata Aziz yang merupakan anak kepada bekas gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. Zeti juga adalah pengerusi Flux.

Antara perkara menarik yang disediakan oleh Flux adalah barisan kenderaan yang ditawarkan. Diambil daripada “kumpulan automotif dan penjual terkemuka”, kami boleh melihat kereta ini adalah daripada pengedar sah, dan bukannya pengimport persendirian. Kebanyakan kereta kelihatan hampir baru, dengan tertulis tahun keluaran 2018 dan 2019, sementara yang paling lama adalah BMW 7 Series tahun 2009. Ada juga Mercedes-Benz S-Class W221 tahun 2013 dan CLA 45 AMG tahun 2014.

Daripada BMW, kami boleh melihat terdapat 3 Series G20, 5 Series G30, 6 Series GT dan SUV X1, manakala daripada MINI terdapat Countryman dan Clubman. Selain jenama premium, mereka juga menyediakan kereta jenama biasa seperti Honda Jazz, Toyota Yaris, Honda City, Toyota Vios, Honda HR-V, Honda CR-V, Nissan X-Trail, Toyota Camry dan Harrier. Kalau daripada Naza, terdapat Kia Picanto, Sportage, Peugeot 2008 dan 3008. Kalau anda mahu bawa ramai orang, ada Toyota Innova dan Fortuner.

Sebagai penyedia langganan kenderaan, Flux menawarkan pemanduan yang lebih menenangkan. Pekerja mereka akan menjaga segala perkara yang berkaitan dengan pengurusan serta penyelenggaraan kenderaan. Ini termasuklah pembaharuan dokumen setiap tahun (cukai jalan dan insurans) dan rancangan serta pelaksanaan servis berkala dan baik pulih (termasuk barang lusuh seperti tayar). Pelayan Flux akan datang mengambil dan menghantar kereta apabila tiba waktu servis.

Persoalan paling penting, berapa harganya? Bayaran bulanan bermula dari RM814 untuk Picanto dan boleh pergi hingga RM8,837 untuk BMW 630i GT M Sport. Apabila melihat kepada senarainya, anda perlu ingat bahawa harga yang dipaparkan adalah harga paling rendah yang boleh diberi iaitu melalui kontrak tiga tahun. Walaubagaimanapun, kereta di dalam gambar adalah unit sebenar yang akan diberi. Sebagai contoh, untuk Kia Picanto, harganya adalah RM895 untuk kontrak dua tahun, RM1,040 untuk kontrak 12 bulan dan RM1,221 untuk kontrak satu bulan.

Lebih lama kontrak yang diambil, lebih baik tawaran yang diberi. Satu lagi, harga yang dinyatakan pada paparan utama adalah untuk pakej “Lite”, yang dihadkan untuk perjalanan 1,250 km sebulan (15,000 km setahun). Jika mendapatkan pakej “Standard” dengan bayaran tambahan, had ini ditingkatkan kepada 2,000 km – untuk Picanto harganya adalah RM90 (tambahan). Semua kenderaan juga didatangkan dengan pilihan jarak perjalanan tanpa had “Unlimited”, di mana untuk Picanto ia memerlukan tambahan bayaran RM537 sebulan. Bayaran ini berbeza mengikut model.

Flux tawarkan servis langganan kereta di M’sia – dari Kia hingga BMW, harga bermula RM814 sebulan

Menurut Flux, untuk kontrak tiga tahun, bayaran bulanannya adalah sedikit lebih rendah berbanding bayaran bulanan yang perlu dibayar melalui pinjaman sewa beli kenderaan biasa bagi tempoh lima tahun dengan bayaran pendahuluan 10%. Melalui Flux, anda tidak perlu meletakkan bayaran pendahuluan, tetapi diganti dengan deposit satu bulan yang boleh dipulangkan semula (bergantung kepada latar belakang pelanggan dan boleh pergi hingga empat bulan). Untuk membayar, anda cuma perlu menggunakan kad kredit yang dikeluarkan di Malaysia.

Tempoh kontrak yang ditandatangani bukanlah tempoh anda terikat dengan sesebuah kenderaan, tetapi berapa lama anda mahu menggunakan khidmat Flux. Pelanggan boleh menukar kenderaan sepanjang tempoh kontrak dengan bayaran pertukaran RM375, dan membayar harga yang lebih tinggi atau lebih rendah mengikut kenderaan baru yang dipilih. Sekiranya anda sudah memilih kontrak tiga tahun, untuk kereta baru itu juga nanti anda akan mendapat harga bulanan untuk tempoh tiga tahun. Flux juga menyediakan skim pulangan balik tanpa risiko selama tiga hari (had 150 km) sekiranya anda membuat keputusan kereta yang diambil tidak sesuai.

Sebagai langkah keselamatan, semua kenderaan Flux dilengkapi dengan alat telematik yang dapat memberitahu lokasi kenderaan dan membantu sekiranya berlaku kecurian. Apabila berlaku kemalangan pula, kenderaan tersebut diinsuranskan sepenuhnya dan mempunyai khidmat bantuan tepi jalan 24 jam. Flux terbuka untuk warga Malaysia dan luar negara (lesen memandu antarabangsa turut diterima), selagi mereka mempunyai kad kredit yang dikeluarkan di Malaysia, nombor telefon dan berusia 25 thaun ke atas.

Lihat lagi apa yang ditawarkan oleh Flux di sini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required