Petronas Lubricants Marketing Malaysia (PLMM) hari ini mengadakan sesi pra tonton awal untuk produk minyak hitam Sprinta dengan UltraFlex baru mereka kepada para media. Ia adalah hasil daripada pengalaman syarikat itu dalam dunia perlumbaan terutamanya MotoGP.

Petronas Sprinta dengan UltraFlex ditawarkan dalam pilihan dua gred F700 semi sintetik iaitu 15W50 dan 10W40, dan dua gred F900 sintetik penuh iaitu 10W50 dan 10W40. Harganya pula untuk satu botol seliter adalah RM35 untuk F700 semi sintetik dan RM67 untuk F900 sintetik penuh.

Menurut ketua pegawai teknologi Petronas Lubricant International (PLI), Eric Holthusen, barisan produk baru ini menepati standard alam sekitar global yang akan digunakan bermula tahun 2020 seperti Euro 5 dan Bharat Stage VI.

“Kami berasa senang hati dapat menguji prestasi, kecekapan dan ketahanan Petronas Sprinta dengan teknologi UltraFlex dalam MotoGP. Dalam tempoh yang pendek sejak Dutch GP pada bulan Jun, pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) telah mencapai peningkatan yang jelas, yang mana selain prestasi pelumba dan pasukan teknikal yang baik, juga kepada Petronas Sprinta,” kata ketua pegawai operasi Petronas Dagangan Berhad (PDB), Aadrin Azly.

Minyak hitam Petronas Sprinta dengan UltraFlex akan berada di kedai Petronas Mesra dan bengkel wakil rasmi Petronas bermula pertengahan bulan November 2019, manakala untuk pasaran India dan Thailand, ia akan dipasarkan pada suku pertama tahun 2020, kemudiannya diikuti pasaran Indonesia, Vietnam dan lain-lain.