Khazanah Nasional Bhd masih mengekalkan pendirian tegas untuk tidak menjual PLUS Malaysia Bhd, syarikat konsesi lebuh raya terbesar di Malaysia, kata Pengarah Urusannya Datuk Shahril Ridza Ridzuan.
“Kami tidak berminat untuk menjual aset tersebut dan kami sebenarnya tidak mendapat apa-apa jenis proses bidaan. (Perdana Menteri) Tun (Dr Mahathir Mohamad) telah menyatakan bahawa tiada tawaran yang menarik. Oleh itu, saya berpegang kepada (kenyataan) itu,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.
Semalam Bernama turut melaporkan, Widad Business Group Sdn Bhd (WBG) telah menaikkan tawarannya untuk memperoleh 100% kepentingan ekuiti dalam PLUS dengan jumlah nilai perusahaan sebanyak RM38.34 bilion.
Ini termasuk RM5.3 bilion untuk kepentingan ekuiti, pengecualian pampasan sebanyak RM3.04 bilion dan andaian hutang sebanyak RM30 bilion. Syarikat berkenaan menyemak naik tawarannya untuk PLUS dalam pembentangannya kepada Kementerian Kerja Raya tempoh hari.
Dalam kenyataannya, WBG berkata, pihaknya kini menawarkan untuk mengambil alih 100% kepentingan ekuiti dalam PLUS bagi RM5.3 bilion dalam pertimbangan tunai, sebagai tambahan kepada pelepasan pampasan sebanyak RM3.038 bilion dan hutang dianggarkan sebanyak RM30 bilion, menjadikan jumlah nilai perusahaan bagi tawaran itu kepada RM38.338 bilion.
“Tawaran disemak semula oleh WBG turut mengandungi dua lagi klausa tambahan, iaitu pelepasan jaminan sukuk RM11 bilion oleh kerajaan, dan opsyen baharu untuk kerajaan membeli balik PLUS selepas 10 tahun berdasarkan nilai pasaran,” katanya.
Tambahnya lagi, tawaran terbaharu itu sebanyak RM38.338 bilion, termasuk hutang oleh WBG, yang ketika ini merupakan bida tertinggi daripada sektor swasta.
“Kami telah mendengar komen Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai masih belum mendapat tawaran yang cukup menarik untuk PLUS. Selepas mengadakan perbincangan, kami merumuskan tawaran yang lebih tinggi yang mencerminkan prospek lebih cerah bagi syarikat ini dan pelan pengambilalihan yang akan membantu mengurangkan lagi beban kewangan ditanggung kerajaan, serta menyediakan penjimatan yang amat diperlukan serta selesa kepada orang ramai yang menggunakan jalan raya kami,” ujar Pengerusi Eksekutif WBG Group Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah.
Dalam cadangan diserahkan kepada Menteri Kerja Raya, WBG menyenaraikan beberapa komitmen bagi pengambilalihan PLUS, seperti kadar tol. Ia juga mencadangkan dua mekanisme berbeza, pengurangan pertama 25% ke 40% diberikan kepada pengguna jalan raya menerusi diskaun tol secara langsung, atau pengurangan tol 18% secara langsung kepada pengguna jalan raya dan bakinya pengurangan 7-22% disalurkan kepada kerajaan untuk kebajikan kumpulan sasar.
Selain itu, diskaun tol 50% juga akan diberikan semasa sambutan perayaan utama di Malaysia seperti Hari Raya Aidil Fitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali.
Selain Widad Group Berhad, tiga lagi syarikat konglomerat terkemuka turut membuat tawaran untuk membeli kepentingan dalam PLUS; Maju Holdings Sdn Bhd, RRJ Capital dan ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad menerusi Karongsa Private Capital Sdn Bhd.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.