Satu lagi motosikal yang diperkenalkan oleh Yamaha lebih awal daripada pameran EICMA 2019 yang bermula esok adalah skuter TMax 2020. Ini adalah sebuah model yang cukup popular di Eropah dan kini sudah memasuki generasi ketujuh.

Antara perubahan utama pada model ini adalah kapasiti enjin yang dibesarkan, daripada 530 cc sebelum ini, kepada 560 cc. Walaubagaimanapun, peningkatan kuasa daripada enjin dua silinder DOHC ini cuma sebanyak 2.6 hp, menjadi 47.6 hp pada 7,500 rpm dan 55.7 Nm tork pada 5,250 rpm. Kuasa daripada enjin disampaikan ke roda belakang melalui transmisi automatik dan sistem tali sawat.

Walaupun masih mengekalkan gaya sporty yang sama seperti sebelum ini, Yamaha mendakwa keseluruhan bahagian luar TMax 2020 ini adalah baru kecuali fairing. Sekiranya diperhatikan secara terperinci barulah anda akan nampak perbezaannya dan ini termasuk lampu penunjuk arah yang disepadukan sekali pada unit lampu utama serta bentuk lampu belakang baru.

Panel badan baru ini, bersama tempat duduk yang direka semula juga menjadikan ergonomik skuter ini lebih bagus dan menyumbang kepada lebih keselesaan. Bahagian lain masih sama seperti tetapan brek cakera berkembar 267 mm di hadapan dan 267 mm di belakang, rim 15 inci dan tangki bahan api 15 liter.

Melalui model baru ini juga, Yamaha telah memperkenalkan satu versi baru yang lebih sporty dinamakan sebagai TMax Tech Max. Model ini ditambah dengan kelengkapan seperti penghadang angin kawalan elektrik, cruise control, pemanas tangan, suspensi belakang boleh laras, fork berwarna emas dan sambungan MyTMAX Connect.