Honda City Turbo 2020 – generasi kelima atau ketujuh?

Honda City Turbo 2020 – generasi kelima atau ketujuh?

Jika anda cakna dengan generasi Honda City, anda tentu tahu dari era 80’an hingga sekarang Honda telah menghasilkan tujuh generasi model dengan nama ‘City’ termasuk model generasi baharu yang baru didedahkan di Thailand semalam. Namun jika anda mengikuti siaran langsung pendedahan City Turbo tersebut, tentu anda perasan bahawa model itu dirujuk sebagai model generasi kelima. Mengapa?

Jadi untuk mengetahui kenapa, mari saya bawa anda menyusuri kembali sejarah berkenaan tanda nama ‘Honda City’ ini. Honda mula menggunakan nama ‘City’ secara komersial pada tahun hujung tahun 1981, diletakkan pada sebuah hatchback yang lebih kecil dari Honda Civic – ketika ini Civic generasi kedua sedang berada dalam pasaran.

Honda City Turbo 2020 – generasi kelima atau ketujuh?

Honda City generasi pertama tersebut memberikan satu alternatif lain berbanding Civic kepada pelanggan. Selain dari lebih mampu milik, ia menampilkan rekaan bumbung dan juga kedudukan pemanduan yang lebih tinggi tetapi dimensi yang lebih pendek dari Civic – lebih sesuai untuk wanita kerana pandangan yang lebih jelas serta lebih mudah dikendali pada kawasan kecil dan sempit.

Model ini juga sangat unik kerana ia hadir dengan sebuah motosikal kecil dengan enjin 49 cc digelar Honda Motocompo yang boleh dilipat dan diletakkan pada ruangan khas dalam but belakang. Ideanya, anda boleh meletakkan City ini pada satu tempat parkir, kemudian anda boleh bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang sesak menggunakan Motocompo berkenaan.

Hatchback tersebut dijana CVCC-II 1.2 liter dan hadir dalam versi tiga-pintu dan juga dua pintu cabriolet. Honda juga memperkenalkan versi lebih berkuasa City Turbo dijana enjin Combax 1.2L dengan pengecas turbo, berkuasa 100 PS/147 Nm! Untuk pengetahuan anda, City Turbo ini adalah projek oleh anak pengasas Honda (Soichiro Honda) sendiri iaitu Hirotoshi Honda, yang juga pengasas badan penala Mugen Honda.

Kemudian pada tahun 1983, City hadir dengan model lebih agresif digelar City Turbo II. Model tersebut diberikan enjin yang sama, tetapi kali ini hadir dengan unit intercooler sebagai ciri standard dan juga pengecas turbo serta throttle body lebih besar, mengahasilkan kuasa setinggi 110 PS/159 Nm!

Bukan sekadar enjin yang lebih berkuasa, City Turbo II ini menampilkan badan yang lebih lebar sehingga mendapat nama timangan “Bulldog”, dibuat untuk memberikan trek roda yang lebih lebar untuk pengendalian dan cengkaman roda yang lebih baik.

Model generasi kedua City muncul pada tahun 1984. Dibina masih dengan konsep ‘Tall boy’ yang sama seperti model generasi pertama, model baharu diberikan rupa seakan Honda Civic dalam skala lebih kecil – ketika ini Civic generasi ketiga (SB3) a.k.a Civic Mayat berada dalam pasaran.

Model ini dijana oleh enjin empat silinder 1.2L siri D iaitu D12A dengan 16-injap aci sesondol tunggal, menjana 76 PS. Kemudian pada tahun 1989, ia diperkenalkan dalam versi facelift dengan muka seakan Honda Civic generasi keempat (EF).

City ini bukan sahaja hadir dengan muka lebih segar, ia juga ditawarkan dengan enjin 1.3L D13C, dan hadir dalam versi karburator dan sistem suntikan bahan api elektronik PGM-FI. Ini juga adalah City terakhir yang dihasilkan di Jepun setelah produksinya tamat pada tahun 1994, dan ia juga telah mula menggunakan nama Fit, dan diteruskan pada Honda Fit JDM selepas itu.

Honda City Turbo 2020 – generasi kelima atau ketujuh?

Pada pertengahan era 90’an, Honda Civic secara beransur-ansur mula beralih ke pasaran yang lebih premium pada pasaran Asia Tenggara. Jadi Honda perlu menghasilkan sebuah sedan yang lebih mampu milik dari Civic bagi memenuhi permintaan pasaran.

Projek untuk menghasilkan sebuah model sedan khas untuk pasaran ASEAN ini dilakukan sendiri oleh Honda Thailand. Bagi menjadikan ia sebuah model yang mampu milik, Honda perlu berjaga-jaga dengan kos R&D – mereka mengasaskan sedan tersebut dari platform Honda Civic EF (ketika ini Honda Civic generasi kelima iaitu EK sedang berada dalam pasaran).

Kemudian bagi menjadikan ia lebih mampu milik, sistem suspensi double wishbone pada EF digantikan dengan topang McPherson biasa. Model ini diproduksi di kilang Honda Thailand yang terletak di Ayutthaya, dan kemudian Honda menggunakan kembali nama ‘City’ untuk diletakkan pada model tersebut.

Honda City Turbo 2020 – generasi kelima atau ketujuh?

Jadi, generasi City sedan yang ada sekarang ini sebenarnya dikira dari City sedan yang dihasilkan oleh Honda Thailand pada tahun 1996 tersebut, dan bukan dari susur galur hatchback City JDM yang dihasilkan dari tahun 1981 hingga 1994.

City ini terus dibangunkan oleh Honda Thailand untuk generasi seterusnya, dan bermula model generasi kedua pada tahun 2002, model tersebut dihasilkan sebagai versi sedan dari model hatchback Honda Jazz/Fit yang dihasilkan oleh Honda Jepun.

Sebab itulah kenapa Honda City generasi (GD) kedua kelihatan agak janggal kerana ia adalah sebuah Honda Jazz yang sebenarnya hanya ditambah but belakang, sama seperti Proton Persona yang dihasilkan dari hatchback Proton Iriz. Model ini turut dijual pada pasaran Jepun dan diberi nama Fit Aria.

Honda City Turbo 2020 – generasi kelima atau ketujuh?

Namun untuk generasi ketiga sedan City berkenaan, Honda Thailand diberikan lebih kebebasan untuk mereka bentuk. Hasilnya, walaupun City GM2 yang diperkenalkan pada tahun 2008 ini masih diasaskan dari Jazz GE, ia dihasilkan dengan juntaian hadapan dan jarak roda lebih panjang serta bumbung yang lebih rendah dari Jazz membuatkan ia kelihatan seperti sebuah sedan yang normal.

Model ini juga menerima enjin 1.5L L15A7 i-VTEC bagi menggantikan enjin i-DSI L15A1 dan SOHC VTEC L15A2 pada generasi sebelumnya. Kotak gear CVT yang menerima kritikan pada model sebelum itu juga digantikan dengan kotak gear automatik torque coverter lima-kelajuan.

Generasi keempat Honda City sedan ini muncul pada tahun 2014, dikenali dengan kod casis GM6. Konsep penghasilannya masih lagi sama iaitu dihasilkan dari Jazz tetapi hadir dengan dimensi lebih tersendiri. Perubahan besar untuk model ini adalah tangki petrol yang sebelum ini berada pada bahagian tengah, kini telah dialihkan kebelakang.

Honda City Turbo 2020 – generasi kelima atau ketujuh?

Ini membolehkan tempat duduk pemandu direndahkan lagi bagi mendapatkan kedudukan memandu lebih sporty, dan bumbung juga boleh dibuat lebih rendah yang bukan sahaja dapat menjadikan rupanya lebih sporty, malah menyumbang kepada pengendalian yang lebih baik.

Enjin 1.5L i-VTEC masih lagi digunakan pada model ini, tetapi Honda telah kembali menggunakan transmisi CVT bagi menggantikan kotak gear AT lima-kelajuan. Walau bagaimanapun, kotak gear tersebut bukan diambil terus dari City GD, tetapi ia telah direka semula bagi memberikan prestasi yang lebih baik, antaranya menukar penggunaan start clutch dalam kotak gear CVT tersebut dengan torque converter.

Honda City GM6 ini masih lagi boleh kita beli di bilik pameran pasaran Malaysia. Tetapi seperti yang diketahui dan disebut sekali lagi, semalam model generasi kelima City sedan berkenaan telah diperkenalkan buat pertama kali, dan seperti biasa Thailand menjadi pasaran pertama yang menerimanya.

Honda City Turbo 2020 – generasi kelima atau ketujuh?

Model kali ini, Honda Thailand menggelarnya sebagai ‘City Turbo’, kerana dibekalkan dengan enjin P10A2 1.0 liter tiga-silinder VTEC Turbo, sama seperti Honda Civic pasaran Eropah. Ini dilakukan bagi membolehkan Honda City berkenaan dijual dalam segmen Kereta Eco Thailand Fasa 2, dijual pada harga lebih mampu milik kerana menerima insentif potongan cukai kerajaan Thailand.

Walau bagaimanapun, enjin ini ditala bagi menghasilkan 122 PS/173 Nm berbanding enjin yang sama pada Civic yang mengerah kuasa 127 hp/200 Nm. Tetapi angka tersebut tetap lebih berkuasa dari enjin NA 1.5L sebelum ini, dan ia sebenarnya menghampiri jumlah kuasa 1.8L NA. Ia juga masih kekal digandingkan dengan kotak gear CVT automatik, diberikan tujuh-kelajuan maya jika anda memilih mod manual.

Sekarang jelas dengan generasi-genarasi Honda City ini?

GALERI: Honda City Turbo 2020 pasaran Thailand

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required