GALERI: Mazda MX-5 RF yang diperbaharui – RM260k

GALERI: Mazda MX-5 RF yang diperbaharui – RM260k

Pada bulan Ogos yang lalu, Mazda Malaysia telah melancarkan model MX-5 yang dipertingkat, dalam versi RF ‘targa top’ dengan harga RM259,154 untuk transmisi manual dan RM260,354 bagi automatik. Ini menyaksikan peningkatan harga hampir RM37,000 berbanding sebelum ini namun ia datang dengan waranti lima-tahun/100,000 km dan juga pakej servis percuma lima-tahun/100,000 km. Berikut adalah galeri model tersebut.

Bermula dengan bahagian enjin, ia masih dikekalkan dengan unit 2.0 liter NA SkyActiv-G empat-silinder petrol. Tetapi beberapa bahagian telah direka semula seperti piston, connecting rod, crankshaft, throttle body dan intake valve, membuatkan enjin ini boleh dikerah 700 rpm lebih tinggi, iaitu hingga 7,500 rpm, dengan peningkatan kuasa sehingga 184 PS (meningkat dari 160 PS) pada 7,000 rpm dan tork 205 Nm (meningkat dari 200 Nm) pada 4,000 rpm.

Bukan itu sahaja, Mazda turut menambah baik bunyi pada enjin, dengan membuang material dari struktur dalaman muffler dan juga melakukan sedikit peningkatan bagi mengurangkan bunyi bising berfrekuensi-tinggi. Seperti sebelum ini, ia juga didatangkan dengan pilihan kotak gear automatik dan manual enam-kelajuan.

Lain-lain peningkatan kecil termasuklah pelarasan bagi stereng teleskopik, kawalan kelajuan dan juga paparan pelbagai-info TFT LCD berwarna 4.6-inci. Malahan, MX-5 RF 2019 kini dilengkapi dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto secara standard menerusi sistem infotainmen Mazda Connect dan juga skrin sesentuh tujuh-inci.

Ciri standard termasuklah lampu utama LED adaptif dengan lampu tinggi matrix, lampu nyalaan siang LED, roda aloi 17-inci dengan kemasan hitam baharu, sensor undur, kemasukan tanpa kunci dengan pengunci ‘walk-away’, butang penghidup enjin, lampu dan pengelap cermin auto, cermin pandang belakang anti-silau, pendingin hawa auto, upholsteri kulit dan sistem bunyi Bose sembilan-pembesar suara (termasuk pembesar suara bahagian perehat kepala).

Untuk aspek keselamatan, ia didatangkan dengan empat beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan kestabilan, bantuan mula mendaki dan amaran ketibaan lorong, tetapi tidak disertakan dengan brek kecemasan sendiri yang telah diperkenalkan di peringkat global untuk model 2019, begitu juga kamera undur.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required