Perodua sasar misi jadi hab R&D untuk ASEAN, bangunkan model Daihatsu untuk Indonesia, Thai

Perodua sasar misi jadi hab R&D untuk ASEAN, bangunkan model Daihatsu untuk Indonesia, Thai

Dalam sesi pembentangan prestasi jualan 2019 semalam, Perodua turut berkongsi rancangan dan pelan tindakan untuk tempoh masa akan datang. Dengan sokongan padu daripada rakan sekutunya, Daihatsu, Perodua mensasarkan misi untuk menjadi hab R&D di rantau ASEAN, termasuklah membangunkan produk bagi pengeluar kereta Jepun itu sendiri.

Presiden dan CEO Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, sasaran untuk Perodua merekabentuk kenderaan bukan hanya untuk Malaysia, tetapi juga untuk Indonesia dan Thailand. Justeru, syarikat ini sedang bekerja keras untuk mencapai impian bagi menjadi hab R&D di rantau ini dan berdikari sepenuhnya pada masa itu.

Katanya, walau pun Daihatsu memiliki operasi yang sangat besar di Indonesia, “namun buat masa ini, unit R&D Perodua yang merangkumi fasiliti, kelengkapan ujian dan pelaburan, adalah lebih besar berbanding Indonesia.”

Perodua sasar misi jadi hab R&D untuk ASEAN, bangunkan model Daihatsu untuk Indonesia, Thai

Buat masa ini, keupayaan R&D Perodua termasuklah rekaan bahagian atas badan kenderaan, rekaan kejuruteraan, pembangunan komponen tempatan serta keupayaan melaksanakan projek facelift utama. Namun demikian, langkah terbesar yang bakal dilakukan melibatkan model akan datang, di mana ia dibangunkan dengan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang turut berdasarkan produk Toyota.

Model tersebut adalah SUV D55L, yang dijangka bakal dilancarkan pada hujung tahun ini. Selain SUV terbabit, terdapat lagi empat model yang belum dikenalpasti yang dibangunkan dengan platform DNGA, kalau mengikut info grafik yang dikongsikan dalam pembentangan semalam. Tetapi Zainal pantas menyangkal, katanya bukan semua model terbabit adalah untuk Perodua sendiri.

“Empat model baharu tersebut tidak semestinya menjadi model Perodua. Bila kami telah mencapai tahap R&D untuk menjadi hab ASEAN, kami akan merekabentuk apa jua model walau pun untuk Daihatsu,” katanya sambil menambah tidak kira apa pun model, sama ada untuk Perodua atau pun Daihatsu, pihaknya berkeupayaan untuk membangunkannya.

Menariknya, tiga model misteri tersebut adalah hatchback, dan satu lagi dengan kerangka sedan. Walaupun tiada sebarang pengesahan, namun ia menunjukkan Perodua bakal menerajui pembangunan bagi model sedan yang berplatformkan DNGA, bermakna ia untuk pasaran ASEAN.

Perodua sasar misi jadi hab R&D untuk ASEAN, bangunkan model Daihatsu untuk Indonesia, Thai

Model konsep Daihatsu DN F-Sedan yang dipertontonkan dua tahun lepas mampu memberikan idea untuk pembangunan model sedan ini. Daihatsu memang tidak pernah mempunyai model sedan, jadi ini merupakan perkara yang boleh dianggap baharu bagi pengeluar kereta Jepun ini. Tetapi dengan adanya pengalaman dari Perodua menerusi pengeluaran Bezza, pastinya pelaksanaan untuk penghasilan produk yang diingini mampu direalisasikan.

Mengenai reka bentuk produk bagi menampung pasaran yang berbeza di rantau ini, Zainal berkata, hab tersebut dapat memenuhi keperluan yang berbeza.

“Sebagai contoh, jika mereka meminta kami untuk membangunkan model bagi jenama Daihatsu untuk pasaran Indonesia. Unit R&D kami mampu melaksanakannya, tetapi ini tidak bermakna kami (Perodua) akan turut membuat model tersebut untuk pasaran Malaysia,” ujarnya.

Menurutnya lagi, Daihatsu banyak memberikan peluang kepada Perodua untuk mereka bentuk bagi pasaran yang berbeza, dan sejak tahun lalu, Perodua turut menerima beberapa tugasan untuk membangunkan kenderaan bagi negara lain.

Ini termasuklah Avanza yang dibaluti penyamaran yang dikesan pada Oktober lalu yang mungkin memberikan petunjuk bahawa ia merupakan unit ujian untuk model generasi akan datang bagi Daihatsu Xenia/Avanza untuk pasaran Indonesia.

Syarikat ini turut mendedahkan sejumlah RM1.4 bilion bagi pelaburan untuk R&D, di mana ia merangkumi 18% bagi keseluruhan kos pelaburan. Ia adalah untuk membangunkan pelbagai fasiliti termasuk makmal enjin, litar ujian, ruang termal, makmal VPT, pusat ujian emisi dan pusat kajian/studio rekaan.

Tambah Zainal lagi, pihaknya juga sedang menaiktaraf trek ujian sepanjang 5 km, dengan gambaran jalan di Malaysia, bagi menjalani ujian keupayaan kenderaan. Kerja-kerja menaiktaraf terbabit dijangka bakal siap sepenuhnya sebelum 2020 berakhir.

GALERI: Model konsep Daihatsu DN F-Sedan di GIIAS 2017

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required