Renault Twingo Z.E. – sekali cas boleh gerak 250 km

Renault Twingo Z.E. – sekali cas boleh gerak 250 km

Pada bulan Januari yang lepas, Renault telah memberikan facelift kepada model Twingo III dan sekarang ia diikuti oleh versi elektrik sepenuhnya yang dipanggil sebagai Twingo Z.E. Model tanpa emisi ini akan bersaing dengan model seperti Skoda Citigo e iV dan Volkswagen e-up!

Secara visualnya, Twingo Z.E. ini masih mengekalkan rekaan sama seperti model biasa, cuma diubah sedikit dengan penggunaan jalur biru pada rim, tepi pintu dan gril hadapan, serta lencana “Z.E. Electric” pada b-pillar dan pintu but. Satu lagi perubahan adalah tempat mengecas Type 2 menggantikan tempat isi bahan api model biasa.

Bahagian dalam juga melihatkan sedikit perubahan, seperti logo “Z.E.” dan paparan instrumen yang berlainan. Kemasan serta balutan tempat duduk bergantung kepada varian yang dipilih dan ia juga datang dengan skrin sesentuh sistem infotainmen tujuh inci dengan servis sambungan Easy Connect.

Renault Twingo Z.E. – sekali cas boleh gerak 250 km

Tetapan pacuan roda belakang yang digunakan pada model Twingo enjin biasa juga dikekalkan untuk model elektrik ini. Namun, enjin itu digantikan dengan motor elektrik yang mampu memberikan 81 PS (80 hp) dan 160 Nm tork. Jumlah ini dianggap bersesuaian untuk penggunaan dalam bandar dan ia boleh memecut 0-50 km/j dalam masa empat saat, dengan laju maksimum 135 km/j.

Sama seperti kebanyakan EV lain, Twingo Z.E. juga mempunyai sistem penjanaan semula kuasa brek, yang boleh dipilih dalam tiga tahap. Dalam tetapan paling agresif, kereta akan diperlahankan secara cepat, untuk menjana semula kuasa kepada bateri dengan pantas dan mengurangkan keperluan untuk membrek – hampir sama seperti sistem one-pedal driving. Tetapan yang paling lembut pula membenarkan kereta masih meluncur seperti tiada gear.

Motor elektrik pada model ini mendapat kuasa daripada bateri lithium ion 22 kWh yang diletakkan di bawah tempat duduk hadapan, dan menurut Renault, ia boleh memberikan perjalanan sehingga 250 km berdasarkan kitaran ujian WLTP City, atau 180 km mengikut kitaran ujian penuh WLTP.

Bateri ini boleh dicas semula menggunakan pengecas 22 kW yang boleh disambungkan kepada sumber single phase atau triple phase. Melalui soket single phase 2.3 kW di rumah, ia akan mengambil masa 13 jam 30 minit untuk penuh manakala bila menggunakan soket 3.7 kw single phase, ia akan mengambil masa lapan jam. Sekiranya menggunakan sumber triple phase 7.4 kW, ia akan cuma mengambil masa empat jam untuk penuh.

Sekiranya pilihan itu masih dianggap perlahan, anda boleh menggunakan soket 11 kW triple phase, di mana bateri dapat dicas sehingga 80% dalam masa dua jam. Pilihan paling cepat adalah menggunakan pengecas triple phase 22 kW, di mana tahap sama dapat dicapai dalam masa 63 minit sahaja. Menurut Renault, apabila menggunakan tetapan akhir ini, Twingo Z.E. boleh bergerak 80 km selepas dicas selama 30 minit.

Walaupun menggunakan sumber kuasa elektrik, Renault memberitahu aspek praktikaliti dan ruang tidak terganggu. Anda masih mendapat tempat duduk belakang yang boleh dilipat, sekaligus memberi ruang simpanan sebanyak 980 liter. Dalam kedudukan tegak, ia cuma 240 liter.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required