Stok akhir Holden di Australia bakal habis dalam masa seminggu – pikap Colorado dijual serendah RM36k!

Stok akhir Holden di Australia bakal habis dalam masa seminggu – pikap Colorado dijual serendah RM36k!

Selepas pengumuman operasinya bakal berakhir sepenuhnya hujung tahun ini minggu lalu, jenama automotif dari Australia iaitu Holden mengumumkan stok-stok akhir dalam inventori mereka akan dijual dengan harga diskaun istimewa. Ini menyebabkan stok-stok berkenaan dijual dengan laju, dan dijangka kesemuanya akan habis dalam masa seminggu, lapor CarAdvice.

Dengan diskaun yang menyebabkan harga sesetengah model jatuh hingga hampir separuh dari harga asal, jualan di bilik pameran Holden dengan pelanggan paling tinggi mencatatkan angka tiga kali ganda dari biasa pada minggu ini, dan stok yang tinggal semakin berkurangan, lapor portal dari Australia berkenaan.

“Ini seakan tahun 1990’an kembali. Jika kami boleh jual kereta seperti ini sebelum ini, kami mungkin tidak perlu tutup,” kata salah satu pengedar Holden di bandar Melbourne.

Ketika prestasi jenama tersebut masih lagi baik sebelum ini, pengedar Holden yang berjaya mampu menjual sekitar 100 hingga 150 unit kenderaan sebulan. Namun sekitar dua tahun kebelakangan ini, mereka hanya mampu menjual sekitar 20 hingga 50 unit kenderaan sebulan sahaja.

Dalam jualan penghabisan stok ini, diskaun yang diberikan memang ‘gila’. Antara yang menjadi perhatian adalah trak pikap Holden Colorado (Chevrolet Colorado pada pasaran Malaysia) yang dijual pada harga antara AUD13,000 hingga AUD17,500 atau sekitar RM36k hingga RM48k.

Stok akhir Holden di Australia bakal habis dalam masa seminggu – pikap Colorado dijual serendah RM36k!

Manakala untuk sedan besar Holden Commodore pula, diskaun yang diberikan adalah dengan potongan harga AUD7,500 dari asal atau sekitar RM21k lebih murah dari harga sedia ada.

Walau bagaimanapun, ada sebahagian kecil pengedar yang tidak menawarkan diskaun yang begitu banyak, kerana mereka merancang untuk beroperasi selama yang mungkin sebelum Holden ditutup sepenuhnya.

Pemilik jenama Holden, General Motors (GM) minggu lalu mengumumkan bahawa mereka akan menutup sepenuhnya jenama Australia ini pada penghujung tahun ini kerana GM kini telah membuat keputusan untuk tidak lagi menghasilkan kereta-kereta dengan pemanduan sebelah kanan.

Model-model yang dijual oleh Holden buat masa sekarang sebenarnya adalah versi rebadge dalam pemanduan sebelah kanan dari jenama di bawah GM yang lain dan ia tidak lagi dibuat di kilang Holden Australia, setelah operasi CKD jenama tersebut ditutup sepenuhnya tiga tahun lalu.

Sebahagian dari bilik pameran Holden sedia ada akan ditukar menjadi jaringan pengedar General Motors Specialty Vehicles (GMSV), iaitu sub-jenama yang akan menjual model-model GM dari Amerika Syarikat yang diubahsuai dari pemanduan sebelah kiri. Walau bagaimanapun, seramai 200 orang staf Holden akan terus berkerja selama 10-tahun bagi meneruskan khidmat servis dan waranti terhadap unit-unit kenderaan terakhir yang telah dijual kepada pelanggan.

Stok akhir Holden di Australia bakal habis dalam masa seminggu – pikap Colorado dijual serendah RM36k!

Holden telah diasaskan oleh James Alexander Holden pada 1856, tetapi ketika itu syarikat tersebut merupakan pengeluar bagi produk-produk kulit dan pelana. Ia terus berkembang sebagai pembuat side car untuk motosikal dan membuat kerangka badan kereta pada tahun 1905, dan kemudian membekalkan kereta tram untuk Melbourne pada era 20’an.

Pada tahun 1924, Holden mula menjadi pengedar kenderaan dari Amerika, General Motors di Australia. Manakala pada 1931, General Motors dan Holden digabungkan bagi membentuk General Motors-Holden’s Limited (GM-H). Holden mula mengeksport keretanya ke New Zealand pada tahun 1953 dan syarikat tersebut benar-benar menyerlah pada tahun 1958 apabila 40 peratus dari keseluruhan kereta di Australia adalah dari Holden.

Detik kejatuhan Holden benar-benar dapat dilihat pada era Y2K apabila bahagian pasarannya jatuh 15% pada tahun 2006, setelah pelaburan sebanyak $400 juta di buat pada kilang enjin V6 miliknya yang terletak di Port Melbourne (kilang tersebut telah ditutup sepenuhnya pada 2016).

Kedudukan Holden semakin meruncing ketika era Krisis Kewangan Dunia yang menyebabkan kenaikan kos sara hidup yang menjejaskan jualan eksportnya, seterusnya memburukkan lagi keadaan kewangan syarikat tersebut. Akhirnya, VF Commodore yang dilancarkan pada tahun 2013 disahkan sebagai Commodore terakhir yang akan dihasilkan di Australia.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required