Jaguar Land Rover Malaysia kini memperkenalkan model Land Rover Discovery Sport 2020 yang dijual di Malaysia dalam varian R-Dynamic dengan versi lima tempat duduk dan juga 5+2 tempat duduk bagi spesifikasi tertinggi. Harga jualan masing-masing ialah RM379,800 dan RM409,800 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans).
Discovery Sport terbaru ini menempatkan banyak kemajuan berbanding model lama. Antaranya ia menggunakan platform material campuran terbaru pengeluarnya, Premium Transverse Architecture (PTA) yang strukturnya 13% lebih kukuh. Bahagian luaran bagaimanapun kekal dengan bentuk umum yang sama, kecuali beberapa perubaan rekaan yang kecil.
Perubahan yang dimaksudkan termasuk lampu utama LED khas dengan DRL bentuk U yang turut berfungsi sebagai lampu isyarat sequential, serta lampu belakang yang mengikut rekaan yang sama. Gril depan juga berbeza, diikuti dengan rekaan bampar depan dan belakang yang diberi sentuhan baru. R-Dynamic pula memberikan penggayaan yang lebih agresif bagi SUV ini.
Model ini menggunakan enjin petrol 2.0 liter turbocas Ingenium yang menghasilkan sebanyak 200 PS dan 320 Nm tork. Ia digandingkan dengan transmisi automatik sembilan-kelajuan dari ZF. Ciri Terrain Response 2 yang kini standard bagi semua Discovery Sport memperkenalkan mod Auto baru yang ditambah bagi membolehkan talaan kenderaan diadaptasi secara automatik mengikut permukaan laluan. Sistem AWD padanya juga mempunyai ciri peralihan kuasa baru yang dipanggil Driveline Disconnect.
Ruang dalaman juga diberikan pembaharuan terutamanya bahagian papan pemuka dengan rekaan baru serta tuil gear yang digunakannya, menggantikan tombol bulat sebelum ini. Sistem infotianmen Touch Pro pula kini menampilkan skrin 10.25-inci dengan Apple CarPlay/Android Auto.
Ciri standard lain termasuk paparan digital Interactive Driver Display 12.3-inci dan ClearSight Ground View, yang memaparkan visual permukaan di bawah kenderaan. Ada juga ciri head-up display Generation 2 yang memaparkan maklumat utama pemanduan dalam definisi tinggi dan warna penuh.
Dari sudut keselamatan, SUV ini lengkap dengan tujuh beg udara, sensor parkir depan dan belakang serta kamera 360-darjah dengan ciri Wade Sensing. Kelengkapan lain termasuk kawalan melayar adaptif dengan bantuan stereng, bantuan mengekalkan lorong, brek kecemasan autonomous dan peninjau keadaan pemandu. Land Rover Discovery Sport R-Dynamic 2020 ini datang dengan program Land Rover Care, yang termasuk jaminan lima tahun atau 150,000 km, servis lima tahun/65,000 km dan bantuan tepi jalan selama tiga tahun.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.