SUV peringkat kemasukan dari pengeluar British ini, Land Rover Discovery Sport, tetap mempunyai tarikan tersendiri jika dibandingkan dengan barisan kenderaan keluarga Range Rover yang lain. Sebagai SUV tujuh-tempat duduk, ia meminjam banyak persamaan dari model Evoque.

Bagi Discovery Sport 2020 yang terbaru ini, ia turut menggunakan platform Premium Transverse Architecture (PTA) yang ada pada Evoque; sebuah platform modular dengan bahan campuran yang direka untuk teknologi dan sistem janaan kuasa dengan ciri elektrikfikasi seperti mild hybrid serta plug-in hybrid dari awal lagi.

Bagaimanapun, sekiranya dilihat pada luaran semata, seperti tak ada banyak kelainan yang diberikan berbanding versi sedia ada. Bahkan, dimensi binaan model ini juga sangat mirip; 4,597 mm panjang, 2,069 mm lebar dan 1,727 mm tinggi. Versi terbaru berkenaan hanya dua mm pendek dan tiga mm tinggi – jarak antara roda juga masih sama seperti yang lama, 2,741 mm.

Antara pembaharuan yang dibuat pula ialah penggunaan lampu utama LED dengan DRL bentuk U berkembar yang turut berfungsi sebagai lampu isyarat sequential. Grafik yang sama juga boleh dilihat di belakang. Selain itu, gril juga diberi rekaan baru, sementara bahagian bampar kini menampilkan bukaan udara yang lebih kecil dan kemas. Bampar belakang tidak ketinggalan untuk diberi rekaan baru – dengan perincian R-Dynamic yang sporty. Rim pula bersaiz 21-inci.

Bahagian dalam pula menampilkan perubahan yang lebih banyak – suasana ruang kabinnya meminjam banyak unsur dari Evoque dan Velar. Misalnya papan pemuka yang lebih kemas dengan permukaan berkilat serta tuil gear ala pistol yang menggantikan dail bulat sebelum ini. Bagaimanapun, model ini tidak dipasangkan dual-skrin bagi sistem Touch Pro Duo.

Terletak di atas ialah skrin 10.25-inci, manakala sedikit di bawah ia menggunakan sebaris butang sensitif terhadap sentuhan sebagai gantinya. Tombol fizikal bagi volume dan kawalan tetap dikekalkan. Di depan pemandu, paparan digital 12.3-inci turut ditawarkan sebagai pilihan.

Banyak ciri lain yang diwarisi dari Evoque. Antaranya pengecas telefon tanpa wayar, hotspt Wifi 4G, cermin pandang belakang ClearSight dan sistem ClearSight Ground View. Kerusi urut juga ada ditawarkan dan boleh menggunakan balutan Luxtec yang diperbuat daripada gentian mikro polyester yang dikitar semula.

Terdapat juga pertambahan sebanyak 25% terhadap kapasiti ruang barangan kecil kepada 48 liter semuanya. Pemegang tablet Click & Go turut ditawarkan sebagai pilihan di belakang, Activity Key dari Jaguar F-Pace serta ciri Advanced Tow Assist yang memudahkan kenderaan untuk naik mengundur ke atas lori penunda.

Land Rover Discovery Sport ini didatangkan dengan beberapa piliha enjin petrol dan diesel Ingenium, semuanya berkapasiti 2.0 liter turbocas empat-silinder. Bagi petrol, ada piliha janaan enjin 200 PS dan 249 PS sementara bagi enjin diesel terdiri daripada janaan 150 PS, 180 PS dan 240 PS. Hanya varian diesel 150 PS paling asas didatangkan dengan sistem pacuan depan serta kotak gear manual enam-kelajuan – semua yang lain menggunakan transmisi automatik sembilan kemajuan.

Model pacuan semua roda juga dilengkapi dengan sistem mild hybrid 48-volt yang menampilkan penambahan generator penghidup dengan tali sawat bersepadu untuk menangkap semula tenaga kinetik pada kelajuan di bawah 17 km/j.

Platform PTA ini membolehkan bateri lithium-ion 200 Wh disimpan di bawah lantainya tanpa mengurangkan ruang dalaman dan barangan. Ketahanannya juga dipertingkatkan sebanyak 13%. Selain itu, model ini turut dilengkapi dengan sistem Terrain Response 2. Ciri keselamatan seperti Adaptive Cruise Control dengan Steering Assist, Lane Keep Assist, Autonomous Emergency Braking serta pemantau keadaan pemandu.