Subaru BRZ telah pun berusia sekitar lapan tahun, dan dikhabarkan model gantinya bakal diperkenalkan kelak. Bagi mengurangkan debaran menantikan model gantinya, Subaru telah memperkenalkan model BRZ Final Edition untuk pasaran Jerman.
Model edisi istimewa coupe 2+2 ini hanya dikeluarkan sebanyak 100 unit sahaja dan ditawarkan pada harga 40,270 euro (RM193,880), menjadikannya lebih mahal berbanding Toyota 86 GT Black Limited, yang juga merupakan ‘model selamat tinggal’ untuk kembar BRZ itu di Jepun.
Bagi model Final Edition ini, ia didatangkan roda aloi 10-jejari 17-inci, kaliper brek Brembo merah dan peredam Sachs. Terdapat dua pilihan warna iaitu Crystal Black Silica dan pilihan Blue Pearl yang dikenakan kos ekstra 100 euro (RM482).
Sementara itu, untuk bahagian kabin, ia ditampilkan campuran kulit dan upholstery Alcantara dengan warna biru/hitam, serta dipadankan dengan jahitan biru pada panel instrumen, pelapik pintu, tuil gear dan roda stereng. Lain-lain ciri termasuk lencana edisi istimea, lencana “BRZ” pada alas lantai dan unit infotainmen 7-inci.
Penjana kuasa tidak berubah untuk kebanyakan model edisi istimewa BRZ, termasuklah Final Edition. Ia dikuasakan dengan enjin 2.0 liter naturally-aspirated empat-silinder boxer yang mampu menghamburkan kuasa hingga 205 hp dan tork 211 Nm, yang menyalurkan pacuannya ke roda belakang menerusi transmisi manual enam-kelajuan. Kalau nak kotak gear automatik enam-kelajuan, kos ekstra sebanyak 1,700 euro (RM8,188) bakal dikenakan dan ia menerima tambahan 5 hp dan 6 Nm, tapi tak ada la pedal klac. Amacam?