Masih ingat atau belum pernah dengar nama Geometry? Ia merupakan sebuah sub-jenama bagi Geely yang memberi tumpuan kepada kenderaan elektrik. Dan, model yang sedang anda lihat ini dipanggil Geometry C, patutnya dipertontonkan secara rasmi bulan ini di Auto China, Beijing, tetapi telah ditangguh disebabkan Covid-19.
Geometry C ini awalnya akan mengambil bentuk sebuah hatchback segmen C dengan turut menerapkan “body cladding” hitam di kelilingnya untuk nampak seperti sebuah crossover. Bagaimanapun, lakaran digital yang ditunjukkan ini, ia mempunyai kedudukan dari tanah yang lebih tinggi. Ia mewarisi beberapa pendekatan rekaan dari model sedan Geometry A (model sulung jenama ini), seperti lampu utama yang tirus, tiada gril bahagian atas dan garis tingkapnya.
Apa pun, wajah depan ini nampak lebih sporty, dengan rekaan bampar yang lebih ringkas dan lebar. Garis bahu kereta ini juga memberi imej bahawa ia lebar dan stabil, menurun di bahagian belakang. Tiang D pula digelapkan, menyumbang kepada rupa bumbung apung padanya.
Di belakang, Geometry C menampulkan satu lagi sentuhan rekaan yang kian menjadi pilihan; bahagian lampu belakang yang melintang penuh dari kiri ke kanan. Bahagian spoiler juga datang bersekali dengan pintu ruang berkenaan, sementara rekaan seperti diffuser pada bamparnya turut menempatkan lampu kabus. Boleh juga dijangka model ini akan turut dilengkapi dengan paparan 12.3-inci ditengah papan pemukanya, dengan skrin instrumen kecil dan konsol tengah terapung.
Bagi janaan kuasa, ia mungkin akan kekal dengan sistem sama pada Geometry A; motor synchronous magnet kekal tunggal di depan yang menghasilkan 120 kW (161 hp) dan 250 Nm tork. Ini membolehkan model sedan berkenaan mencapai 0-100 km/j dalam masa 8.8 saat, sementara bateri lithium ion dalam varian 51.9 kWh dan 61.9 kWh memberikan jarak sama ada 410 km atau 500 km dalam kitaran NEDC. Bagi model hatchback C pula, angkanya mungkin tak akan lari jauh.
Setakat ini belum ada rancangan untuk memperkenalkan jenama Geometry di Malaysia. Tapi, di masa hadapan ketika prasarana dan permintaan semakin meningkat, anda nak tengok model ini dipasarkan di sini? Bagaimana kalau Geometry C ini nanti yang akan jadi ganti bagi Proton Suprima versi elektrik?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.