Dalam sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilanjutkan sehingga 12 Mei ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memaklumkan kerajaan membenarkan kenderaan perdagangan diperiksa di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk tempoh ini.
Menurutnya, kelonggaran itu diberikan memandangkan pemeriksaan kenderaan perdagangan penting bagi memastikan keselamatan. Walau bagaimana pun, pemilik perlu membuat temujanji pemeriksaan bagi memastikan kenderaan yang digunakan selamat untuk pengguna.
“Mana-mana kenderaan komersial yang perlu diperiksa boleh membuat temujanji dengan Puspakom malah isu yang dibangkitkan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) juga kita sudah teliti. Mereka boleh membuat pendaftaran secara dalam talian dan jika perlu boleh membuat temujanji dengan Puspakom dan Jabatan Pengangkutan Jalan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.
Pada 20 Mac lalu, Puspakom telah mengumumkan penutupan operasi bagi semua cawangannya sepanjang tempoh PKP. Walau bagaimana pun, sudah pasti pengumuman untuk membolehkan Puspakom membuka semula pusat pemeriksaannya untuk kenderaan perdagangan adalah selaras dengan kebenaran yang dikeluarkan oleh kerajaan bagi sektor perkhidmatan penting kembali beroperasi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.