Selain dari mengumumkan Passat R-Line akan tiba ke pasaran tempatan tidak lama lagi, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) turut memperkenalkan imej jenama “Volkswagen Baharu” di Malaysia. Imej tersebut, termasuk logo baharu Volkswagen berkenaan telah pun diperkenalkan buat pertama kali untuk peringkat global pada IAA Motor Show di Frankfurt tahun lalu, dan ia kini mula digunakan di seluruh dunia secara berperingkat.

Oleh itu, kesemua 21 pengedar Volkswagen di seluruh Malaysia akan mula menggunakan logo baharu ini dalam tempoh berberapa bulan akan datang. Penukaran imej ini turut akan melibatkan berberapa pengubahsuaian kecil pada fasiliti-fasiliti tersebut.

Perubahan ini turut akan melibatkan laman web rasmi Volkswagen Malaysia. Ia akan menampilkan fungsi-fungsi yang lebih ringkas dan mudah, serta akan disesuaikan tidak kira untuk penggunaan desktop atau peranti-peranti mudah alih. Pengguna boleh menggunakan laman berkenaan bagi mendapatkan maklumat menyeluruh terhadap model yang mereka minat, promosi jualan dan selepas jualan, temu janji pandu uji, informasi pengedar serta banyak lagi.

Logo baharu Volkswagen ini menampilkan rekaan dua-dimensi yang lebih rata dan lebih ringkas dari sebelumnya. Menurut pengeluar dari Jerman berkenaan, logo baharu ini lebih fleksible untuk digunakan pada platform digital dengan padanan pelbagai warna latar.

Penjenamaan semula ini telah diterajui oleh Volkswagen bersama pasukan yang terdiri dari 19 pasukan dalaman dan 17 agensi luar dan bakal dilengkapkan di seluruh dunia dalam masa sembilan bulan, serta boleh disifatkan sebagai kempen global yang sangat pantas; bayangkan, Volkswagen kini terlibat dalam 171 pasaran diseluruh dunia dengan lebih 10,000 pengedar.

Logo ini akan mula digunakan pada model-model baharu seperti VW Golf Mk8 dan juga hatchback elektrik sepenuhnya ID.3. Di Malaysia, penggunaan logo baharu ini sudah tentu akan dimulakan menerusi pengenalan Golf Mk8, yang dijangka akan dilancarkan di sini pada tahun hadapan.

Menurut pengarah urusan VPCM, Erik Winter, prinsipal teras Volkswagen iaitu pendekatan “people first, new attitude and digital first” akan membantu membentuk halatuju baharu jenama mereka, dan akan mewujudkan pengalaman Volkswagen yang baharu untuk pelanggan mereka di seluruh dunia.

Anda tentu biasa dengar “Volkswagen, Das Auto” pada iklan-iklan VW bukan? Suara yang ‘tegas’ berkenaan akan ditukar dari lelaki kepada wanita, sebagai peneraju untuk perubahan tersebut. Bukan setakat motto berkenaan, malah segala ‘suara pemasaran’ selepas ini akan ditukar kepada suara wanita yang memberikan rasa yang lebih ceria, selesa dan yakin sebagai suara dari Volkswagen.