PKPB: Lelaki di tahan di rumah selepas curi-curi rentas negeri, bagi alasan ziarah bapa hidap diabetis

Setelah berjaya merentas negeri dari Melaka dan pulang ke kampung halamannya di Kedah tanpa sebarang kebenaran oleh pihak polis dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), seorang lelaki berumur 37-tahun telah di tahan di sebuah rumah di Kampung Bahagia, Kota Sarang Semut dekat Yan selepas anggota yang menjalankan tugas Ops COVID-19 diarahkan ke lokasi tersebut, lapor Bernama.

Menurut Ketua Polis Daerah Yan DSP Shahnaz Akhtar, lelaki yang memberikan alasan mahu menziarahi bapanya yang menghidap penyakit kencing manis di kampung ditahan pada pukul 10.30 malam Rabu lalu, kemudian di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Yan untuk tindakan lanjut. Dia kemudiannya mengakui tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran bertulis untuk melakukan rentas sempadan negeri berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati lelaki yang berumur 37 tahun itu telah pulang ke kampung, kononnya untuk melawat bapanya yang menghidap penyakit kencing manis, sejak empat hari lepas dari alamat semasa tempat dia bekerja iaitu di Melaka.

“Lelaki berkenaan juga gagal untuk menunjukkan sebarang dokumen atau surat sokongan bertulis yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa serta alasan munasabah untuk merentas sempadan negeri,” kata DSP Shahnaz.

PKPB: Lelaki di tahan di rumah selepas curi-curi rentas negeri, bagi alasan ziarah bapa hidap diabetis

“Lelaki berkenaan telah dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 dan perlu dibayar dalam tempoh dua minggu. Kes disiasat mengikut Peraturan 6(3) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” jelas beliau lagi.

Tindakan yang di ambil oleh Polis Daerah Yan ini adalah selaras dengan apa yang disebut oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador tempoh hari bahawa pihaknya akan memburu mana-mana individu yang didapati berjaya lolos larangan rentas negeri termasuk pada sambutan Hari Raya tahun ini.

Beliau menjelaskan bahawa pihakya tidak mempunyai masalah untuk mengesan kereta-kereta yang merentas negeri tanpa kebenaran ini kerana setiap kereta yang telah diberikan permit pergerakan mempunyai rekod dengan polis. “Polis memiliki rekod butiran individu serta kenderaan mereka yang diberikan permit atau kebenaran untuk melakukan pergerakan antara negeri,” tegasnya.

Selepas Perdana Menteri mengumumkan PKPB bermula 4 Mei lalu, kerajaan telah memberi kelonggaran bergerak secara beransur-ansur. Buat masa sekarang, rakyat tidak lagi perlu untuk berseorang di dalam kenderaan, perjalanan melebihi radius 10 km sudah dibenarkan, dan tiada lagi had perjalanan hanya sehingga 10 malam. Namun pergerakan untuk merentas negeri masih lagi belum diberikan.