Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memberikan amaran keras kepada mana-mana individu yang didapati berjaya lolos larangan rentas negeri termasuk pada Hari Raya nanti, akan diburu.

Menurut Abdul Hamid, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengesan individu yang disyaki melakukan kesalahan pergerakan rentas negeri tanpa permit. Ini termasuklah akan mengunjungi kediaman individu yang disyaki melakukan kesalahan pergerakan rentas negeri tanpa permit.

“Selain daripada melakukan pemeriksaan di sekatan jalan raya, polis akan menjalankan pemeriksaan di kawasan perumahan dan kampung untuk mengesan mereka yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan bergerak melampaui perbatasan negeri untuk balik berhari raya.

“Bagi tujuan ini, pasukan pemantau PDRM dan ATM akan meninjau rumah di taman perumahan dan kampung di seluruh negara,” katanya kepada Berita Harian.

Tambahnya lagi, polis akan memeriksa bagi mengesan kenderaan yang tidak mempunyai permit pergerakan.

“Polis memiliki rekod butiran individu serta kenderaan mereka yang diberikan permit atau kebenaran untuk melakukan pergerakan antara negeri,” katanya.

Dalam pengumuman mengenai lanjutan PKPB sehingga 9 Jun ini, Perdana Menteri Tan Sri Mahyuddin Yassin berkata, larangan pergerakan antara negeri masih berkuatkuasa dalam tempoh tersebut.

Malah Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, turut menegaskan mana-mana individu yang cuba melakukan perjalanan rentas negeri tanpa kebenaran boleh dihukum mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 dan dan Akta Polis 1967.

Di mana individu yang didapati ingkar, boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 5) 2020 dan berdepan denda RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.