Didi Resources Sdn Bhd, pengedar rasmi motosikal Vespa di Malaysia telah melancarkan dua model baru untuk pasaran iaitu Sprint 150 2020 dan Primavera S Special Edition 2020. Harganya masing-masing adalah RM16,900 dan RM18,300 tidak termasuk insurans.

Perincian teknikal kedua-dua model ini masih lagi sama seperti model yang dilancarkan tahun lepas, termasuklah enjin iaitu unit satu silinder suntikan bahan api empat lejang 150 cc i-Get yang berkuasa 12.9 hp pada 7,750 rpm dan 12.8 Nm tork pada 6,500 rpm.

Cuma beberapa bahagian kecil sahaja yang diubah dan apabila melihat kepada Sprint, ia kini datang dalam tiga pilihan warna baru iaitu kuning, putih dan hitam. Kemudiannya pada bahagian kemasan keliling panel meter, ia menggunakan warna hitam yang sama seperti rim.

Pergi pula kepada Primavera S, model yang baru dilancarkan ini dipanggil sebagai Special Edition, di mana kemasan di keliling lampu serta badannya menggunakan warna kelabu gelap matt sama seperti warna rim. Kemudiannya, rak barangan yang berada di hadapan dan belakang dicat warna hitam matte.

Kelengkapan lain yang diberi pada dua model ini adalah termasuk lampu jenis LED depan dan belakang, brek cakera hadapan, brek dram belakang, sistem ABS single channel, tangki bahan api 8.5 liter, rim 12 inci dengan tayar tanpa tiub, pemula elektrik dan soket pengecas USB.

GALERI: Vespa Primavera Special Edition 2020

GALERI: Vespa Sprint 150 2020

16,900
18,300