Rancangan Up To Speed yang disiarkan menerusi saluran Youtube Donut Media biasanya akan menampilkan sejarah jenama automotif yang berkaitan dengan budaya automotif di Amerika Syarikat. Tapi untuk episod minggu lalu, rancangan yang dihoskan oleh James Phumprey ini mengetengahkan satu jenama yang belum pernah dijual di negara tersebut, dan berasal dari China iaitu Geely.

Jika kita di Malaysia rata-rata mula kenal Geely ini sejak jenama tersebut menjalinkan kerjasama dengan Proton pada tahun 2017, tapi macam mana pula mereka di Amerika Syarikat ini sedar akan kewujudan Geely? Jelas dalam video berkenaan nama Geely dikenali kerana pembuat kereta dari China tersebut berjaya memiliki Volvo, serta divisi mewahnya iaitu Lynk & Co bergelar juara dunia dalam kategori pengeluar dalam kejuaraan WTCR pada tahun lalu.

Walaupun hanya bermula dengan menghasilkan model-model ‘copy ori’ 33 tahun lalu, dengan jualan yang memberangsangkan, jenama yang diasaskan oleh Li Shufu tersebut berjaya mengambil alih Volvo dari Ford lebih sedekad lalu dengan harga US$1.8 bilion. Ini membolehkan Geely menghasilkan model-model baharu mereka dengan pengetahuan dan juga teknologi dari Volvo.

Nama Geely mungkin hangat diperkatan di Malaysia pada tahun 2017, namun sebenarnya idea untuk Proton bertapak di China telah dicetuskan oleh perdana menteri Malaysia keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun 2014. Perjanjian kedua-dua belah pihak tersebut dirancang untuk melibatkan rekaan kenderaan, pembekalan, pembuatan, pemasaran, import serta pengedaran pada pasaran ASEAN dan China – ketika itu ia turut disaksikan sendiri oleh pengasas Proton, Tun Dr Mahathir Mohamed.

Walau bagaimanapun, Proton terus dihambat dengan pelbagai masalah di Malaysia termasuk jualan yang lembab serta beban hutang yang semakin bertambah. Ini memaksa Proton untuk membuat pinjaman dari kerajaan pada pertengahan 2016. Pinjaman tersebut diluluskan dalam jumlah RM1.5 bilion bagi membolehkan Proton membayar hutang-hutang pada vendor, tetapi kerajaan menetap pelbagai syarat, antaranya Proton perlu mencari rakan strategik dari luar bagi membolehkan ia bertahan pada masa hadapan.

Tawaran yang dibuka oleh Proton untuk kerjasama yang disyaratkan kerajaan tersebut telah menarik minat pelbagai pihak, dan antara nama dalam senarai pendek adalah pemilik jenama Peugeot dan Citroen iaitu PSA Group, dan juga Geely.

Perancangan awal Geely sebenarnya mahu mendapatkan Lotus Cars dari DRB-Hicom, tetapi akhirnya ia terpilih sebagai opsyen utama dalam perjanjian kerjasama Proton berkenaan. Ia diakhiri dengan perjanjian sebenar pada 2017, menyaksikan Geely memperolehi sebanyak 49.9 peratus kepentingan Proton dari DRB-Hicom.

Syarat yang diberikan oleh kerajaan nampak berhasil. Proton kini tidak lagi perlu bergantung dengan dana dari kerajaan. Pengenalan model-model kemaskini dan juga pelancaran SUV segmen-C Proton X70 membolehkan jenama tersebut menjual lebih dari 100,000 unit kenderaan setahun pada 2019, setelah kali terakhir berjaya berbuat demikian hanya pada tahun 2015.

Tahun ini, Proton dijangka akan melancarkan model yang paling ditunggu-tunggu iaitu SUV segmen-B yang sebaris dengan Honda HR-V, dijangka digelar sebagai Proton X50 yang diasaskan dari Geely Binyue dan dikhabarkan akan dilancarkan pada suku keempat nanti.