Polis Selangor saman 1,056 motosikal, 365 kereta atas pelbagai kesalahan dalam Op Khas Motosikal semalam

Semalam Polis Selangor telah mengadakan Operasi Khas Motosikal di seluruh negeri terbabit dan sebanyak 1,421 saman telah dikeluarkan iaitu 1,056 motosikal dan 365 kereta atas pelbagai kesalahan trafik.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari’at, pihaknya melakukan operasi kerana masih ramai yang berani menanggung risiko tidak menggunakan laluan motosikal yang disediakan di lebuh raya. Pelbagai alasan diberikan oleh para penunggang motosikal termasuk hendak cepat dan laluan motosikal tidak elok.

Selain itu, pihak JSPT juga memberi tumpuan kepada ekzos diubah suai sehingga mengeluarkan bunyi bising dan mengganggu orang ramai di kawasan perumahan, laporan Harian Metro.

Polis Selangor saman 1,056 motosikal, 365 kereta atas pelbagai kesalahan dalam Op Khas Motosikal semalam

“Kita ada menerima beberapa aduan dan maklumat berkaitan isu ini. Tindakan seterusnya akan diambil. Melalui operasi hari ini, sebanyak 1,483 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik,” katanya.

Jelasnya lagi, sebanyak 117 saman dikeluarkan kerana tidak memakai topi keledar, tiada lesen (320), nombor pendaftaran diubah suai (111), tiada cermin sisi (60), penunggang di bawah umur (seorang), tidak menggunakan lorong motosikal (504), ubah suai kenderaan (3) dan lain-lain kesalahan (367).

“Operasi hari ini turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pihak Kesas dan Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya lagi.