Tahukah anda, Pada tahun 1960 iaitu tiga tahun sebelum Porsche 911 diperkenalkan dan setahun sebelum Jaguar E-Type membuat kemunculan, pembuat kereta dari Sweden yang sering dikaitkan dengan keselamatan iaitu Volvo sudah pun muncul dengan kereta sport mereka?

Model coupe dua pintu berkenaan dikenali dengan nama Volvo P1800 dan kemudian popular sebagai kereta yang dipandu oleh watak Simon Templer yang dilakonkan oleh Roger Moore dalam siri penyiasatan ‘The Saint’ pada era 60’an.

Anda kenal Cyan Racing? Firma kejuruteraan perlumbaan ini ditubuhkan pada tahun 1996 untuk mengendalikan pasukan lumba Volvo bagi berlumba dalam Swedish Touring Car Championship (STCC) dengan Volvo 850. Sejak itu, Volvo Cyan Racing terus mendominasi STCC dan kemudian melangkah ke peringkat dunia sehingga pemandu Sweden, Thed Bjork berjaya menjadi juara dunia dalam FIA World Touring Car Championship pada tahun 2017 dengan Volvo S60 TC1.

Bukan sahaja cemerlang dalam dunia perlumbaan, Cyan Racing juga banyak menghasilkan model-model konsep dan produksi prestasi tinggi Volvo untuk jalan raya di bawah jenama Polestar, seperti Volvo C30 Polestar Concept, Volvo S60 Polestar Concept serta model produksi Volvo S60 dan V60 Polestar.

Jadi bagaimana agaknya jika Cyan Racing ini wujud ketika Volvo P1800 diperkenalkan pada era 60’an? Ini dia, Volvo P1800 Cyan, model konsep yang dihasilkan oleh Cyan Racing, walaupun ketika ini program perlumbaan dalam World Touring Car Cup (WTCR) mereka berjalan dengan jenama mewah Geely iaitu Lynk & Co.

“Jaguar, Ferrari dan Porsche semuanya ada kesinambungan. Ini memberikan kami inspirasi bagi menghasilkan apa yang mungkin terhasil sekiranya kami sebagai pasukan lumba telah mula berlumba pada era 60’an, dengan menggunakan P1800, dan diberikan peluang untuk menghasilkan versi jalan raya untuk kereta lumba berkenaan,” kata CEO dan pengasas Cyan Racing, Christian Dahl.

“Kami dah lakukannya sebelum ini dengan tiga kereta lumba kami, Volvo C30, Volvo S60, ketika kami dikenali sebagai Polestar, dan tahun lalu dengan Lynk & Co 03 Cyan. Volvo P1800 ini merupakan tafsiran kami tentang apa yang mungkin terjadi,” tambah Dahl.

Volvo P1800 keluaran tahun 1964 ini menerima sentuhan tipikal dari Cyan Racing di mana kerangka asal yang diperbuat sepenuhnya dari logam era 60’an menerima panel-panel baharu dari material gentian karbon dan juga logam tegangan tinggi moden, membuatkan ia lebih kuat dan lebih ringan – berat akhir coupe ini ditimbang hanya pada 990 kg!

“Asas kepada pengalaman pemanduan yang jitu dan intuitif adalah struktur badan yang kukuh. Kereta dari era 60’an adalah jauh dari ideal berkenaan faktor ini kerana terdapat bahagian dan kualiti logam yang lemah memberikan ruang untuk terjadinya lenturan pada badan,”kata Pengurus Projek dan Ketua Kejuruteraan Cyan Racing, Mattias Evensson.

Boleh sahaja Cyan Racing memadankan unit janakuasa elektrik sepenuhnya bagi membekalkan kuasa dan tork segera pada P1800, namun bagi mengekalkan karekter serta pengalaman pemanduan mekanikal paling asli, kereta sport ini masih dijana oleh enjin petrol konvensional bersama kotak gear manual. Ia juga tidak diberikan sebarang sistem elektronik seperti sistem kestabilan elektronik dan sistem brek ABS, malah booster brek juga tidak dipadankan.

Cyan Racing memilih enjin 2.0 liter empat silinder turbo Volvo Drive-E (Volvo Engine Architecture atau VEA) yang sama seperti jentera lumba S60 TC1 mereka untuk menjana P1800 ini. Dengan boost setinggi 2.7 bar, enjin berkenaan berupaya menjana sejumlah 420 hp dan tork maksima 455 Nm, namun Cyan menala enjin ini dengan respon yang linear bagi memberikan karekter seakan enjin naturally aspirated (NA).

“Ketika menilai pelbagai enjin untuk Volvo P1800 Cyan ini, kami mempertimbangkan banyak enjin Volvo yang lain termasuk enjin asal B18, enjin ‘Red Block’ B230, enjin 5-silinder ‘White Block’, enjin enam-silinder sebaris pendek dan juga enjin 4-silinder VEA yang menjana model-model Volvo hari ini,” jelas Evensson.

Kuasa dihantar ke gandar belakang yang dilengkapi dengan LSD menerusi kotak gear manual lima-kelajuan paten-H ‘dog leg’ (gear undur pada kedudukan gear 1 manakala gear 1 pada kedudukan gear 2 pada kotak gear biasa) dari Hollinger, dan juga propeller shaft yang diperbuat dari gentian karbon.

Suspensi coupe ini juga telah diolah sepenuhnya. Suspensi dan gandar belakang P1800 yang pada asal menggunakan sistem gandar hidup kini telah diberikan unit gandar bebas dengan sistem suspensi bebas jenis double wishbone, sama seperti bahagian hadapan.

Kesemua sudut menerima penyerap hentak dan komponen suspensi yang boleh dilaras sepenuhnya. Untuk brek, hab roda hadapan menerima cakera bersaiz 362×32 mm, manakala belakang pula diberikan cakera bersaiz 330×25.4 mm – kesemua ini dipadankan dengan angkup empat omboh dari AP Racing.

Brek-brek tersebut terlindung disebalik set rim perlumbaan forged dengan satu nat 18-inci rekaan Cyan Racing, dibaluti tayar Pirelli P Zero bersaiz 235/40R18 di hadapan dan 265/35R18 di belakang.

Walaupun keseluruhan panel badan P1800 Cyan ini menerima panel-panel gentian karbon, ia masih mengekalkan rupa luaran P1800 yang asli, lengkap dengan gril, bampar serta kemasan-kemasan krom yang lain. Badan gentian karbon tersebut tidak dibiarkan ‘bogel’, tetapi dilayangkan dengan warna biru tradisi Cyan Racing yang ilhamkan dari bendera Sweden, atau digelar sebagai “Swedish Racing Green” (ya betul, Green bukan Blue) oleh Polestar sebelum ini.

Tiada sebarang gambar bahagian dalaman P1800 Cyan ini disiarkan, namun menerusi spesifikasi yang ditulis, kereta sport ini menerima set rollcage yang diperbuat dari material titanium.