VIDEO: Volvo S60 Polestar pecah rekod litar Nurburgring untuk kereta empat-pintu secara rahsia

Tanpa sebarang pengumuman, tanpa sebarang sebaran, divisi perlumbaan dan talaan Volvo iaitu Polestar sebenarnya telah ke litar Nurburgring, Jerman tahun lalu untuk menala S60 Polestar versi jalan rayanya. Menerusi ujian berkenaan juga, S60 tersebut sebenarnya telah mencatatkan rekod kereta empat pintu yang sah digunakan atas jalan raya paling pantas pada litar ‘The Green Hell’ berkenaan dengan catatan masa 7 minit 51.110 saat.

Menurut Polestar, rekod yang dicatatkan di Nurburgring berkenaan bukanlah untuk dicanang kepada semua orang. Tujuan mereka kesana adalah untuk mendapatkan talaan terbaik pada S60 Polestar pada litar sejauh 20 km dengan keseluruhan lebih dari 150 selekoh – disifatkan litar terbaik di dunia untuk mendapatkan talaan paling bagus bagi pemanduan litar dan juga jalan raya.

Pengumuman rekod berkenaan hanya dibuat setahun selepas itu, iaitu sehari sebelum bermulanya Kejuaraan Touring Car Dunia (WTCC) pusingan Jerman 2017 yang diadakan di litar Nurburgring. Menurut Polestar Cyan Racing, perkara yang mereka pelajari pada ujian yang dijalankan tahun lalu bukan sahaja bakal digunakan pada kereta-kereta jalan raya mereka pada masa hadapan, ia turut akan digunakan dalam jentera perlumbaan sebenar.

VIDEO: Volvo S60 Polestar pecah rekod litar Nurburgring untuk kereta empat-pintu secara rahsia

Foto: Patrik Lindgren

Walau bagaimanapun, rekod yang dicatatkan ini telah pun dipecahkan oleh pelbagai kereta empat pintu lain sebelum ini, antaranya Alfa Romeo Giulia Quadrifoglio, Volkswagen Golf GTI Clubsport S, dan yang terbaharu Honda Civic Type-R 2017 dengan catatan masa 7 minit 43.8 saat.

Volvo S60 Polestar versi produksi dijana oleh enjin petrol Drive-E 2.0 liter dengan suapan turbo dan juga supercharger menghasilkan kuasa maksima 367 hp dan tork puncak 420 Nm. Enjin berkenaan digandingkan bersama transmisi automatik lapan-kelajuan dan kemudiannya mengalirkan kuasa ke kesemua roda menerusi sistem AWD, membolehkan sedan empat pintu ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.7 saat. Ia turut diberikan spring lebih keras, penyerap hentak dari Ohlins serta cakera brek slotted dengan diameter lebih besar.

Di Malaysia, kita tidak menerima model penuh talaan Polestar ini. Tetapi Volvo Cars Malaysia telah membawa masuk pakej Polestar Optimisation bagi meningkatkan prestasi untuk model S60 T6, XC60 T5, XC60 T6, dan juga V40 T5. Kami juga sebelum ini telah diberi peluang untuk memandu uji V40 T5 Drive-E yang diberikan pakej lengkap talaan Polestar berkenaan – ulasannya boleh anda baca DI SINI.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required