Mitsubishi Xpander AP4 – MPV SUV rali sebenar dengan enjin Evo X 350hp/556 Nm, pacuan semua roda

Mitsubishi Xpander AP4 – MPV SUV rali sebenar dengan enjin Evo X 350hp/556 Nm, pacuan semua roda

Disiplin rali adalah antara cabang yang paling mencabar dalam sukan permotoran. Ia bukan sahaja memerlukan ketahanan, malah jentera juga perlu ditala agar lincah dalam apa jua bentuk permukaan jalan. Oleh itu, sedan atau hatchback antara pilihan asas yang ideal untuk sukan ini. Pernah dengar jentera rali yang dihasilkan dari MPV? Tiada lagi badan yang berani bermain dengan idea pelik ini selain Mitsubishi dengan jentera rali Xpander AP4!

Mitsubishi Xpander merupakan model yang berkait rapat dengan Mitsubishi Indonesia – model konsep Mitsubishi XM Concept didedahkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2016, dan kemudian diterjemahkan dalam versi produksi Xpander pada GIIAS 2017, di mana pembinaan model berdasarkan permintaan MPV tujuh-tempat duduk mampu milik yang begitu tinggi di sana.

Dan idea penghasilan jentera rali Mitsubishi Xpander AP4 ini juga dicetuskan oleh pemandu rali Indonesia yang kariernya ‘dibangunkan’ oleh jentera-jentera Mitsubishi Lancer Evolution iaitu Rifat Sungkar. Program perlumbaan Xpander AP4 ini akan dijalankan oleh Xpander Rally Team, manakala proses pembangunannya yang berjalan tahun lalu dibuat oleh Mitsubishi Ralli Art New Zealand.

Seperti namanya, Xpander ini dibangunkan dengan memenuhi spesifikasi AP4 dan telah pun menerima homologasi penuh dari FIA. Regulasi AP4 merupakan formulasi baharu oleh FIA, iaitu kelas tertinggi dalam Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) buat masa sekarang bagi menggantikan Group N.

Sedikit pencerahan kategori AP4 ini – ia bermaksud Asia Pasifik 4WD dan kategori ini berada tahap yang sama dengan kategori R5, serta ia dibuat khas hanya untuk APRC. Kategori ini dihasilkan oleh komuniti rali Asia Pasifik kerana kepupusan jentera-jentera Group N seperti Mitsubishi Lancer Evolution yang secara asasnya adalah model produksi dari kilang yang hanya diberikan rollcage, penukaran sistem suspensi serta hanya talaan kotak komputer untuk membolehkan ia terus berlumba dalam rali.

Jentera yang masih ada dalam pasaran, Subaru WRX STI misalnya juga kini sudah tidak kompetitif kerana saiznya yang terlalu besar, lebih-lebih lagi jika dibandingkan dengan jentera WRC dan R5 yang kini sudah beralih menggunakan hatchback segmen-B.

Walaupun spesifikasinya hampir sama dengan jentera R5, kereta-kereta AP4 ini tidak memerlukan homologasi yang ketat dari FIA seperti R5, membolehkan kos untuk menghasilkannya lebih murah dan ia boleh di bina oleh mana-mana bengkel tanpa perlu ke Eropah yang tentunya turut melibatkan kos duti import. Namun jentera AP4 ini hanya boleh bertanding dalam rantau Asia Pasifik sahaja, berbanding R5 yang boleh bertanding di seluruh dunia termasuk kategori kedua tertinggi dalam WRC iaitu WRC2.

Xpander AP4 ini diberikan set suspensi boleh laras sepenuhnya mengikut spesifikasi AP4, dan bergantung pada SS rali, ia akan diberikan talaan gravel yang tinggi dengan tayar tebal, mahupun talaan tarmac dengan badan yang direndahkan dengan set rim besar dibaluti tayar berprofil rendah.

Mitsubishi Xpander AP4 – MPV SUV rali sebenar dengan enjin Evo X 350hp/556 Nm, pacuan semua roda

Untuk enjin pula, sama seperti R5, kereta-kereta kategori AP4 ini perlu dilengkapi dengan enjin 1.6L, tetapi dengan unit restrictor pada pengecas turbo berdiameter 34 mm (R5 hanya 32 mm), manakala berat minimun dibenarkan adalah 1,250 kg.

Jadi, Xpander AP4 ini diberikan enjin seakan sama dengan jentera rali Proton Iriz R5, iaitu 4B11T dari Mitsubishi Lancer Exo X yang dikecilkan kapasitinya dari 2.0 liter ke 1.6 liter, ditala bagi menghasilkan 350 hp dan tork maksima 556 Nm untuk menggantikan enjin MIVEC 1.5 liter asal.

Jentera ini turut menerima kelengkapan-kelengkapan AP4 yang lain seperti kotak gear sequential enam-kelajuan Sadev, serta sistem pacuan semua roda dengan tiga unit LSD mekanikal pada bahagian tengah serta gandar hadapan dan belakang. Seperti jentera-jentera AP4 lain, ia diberi kit aero dengan kesemua fender yang lebih lebar bersama bampar hadapan dan spoiler belakang yang lebih agresif dihasilkan dengan dimensi maksima yang dibenarkan.

Manakala bahagian dalaman pula ‘dibogelkan’ dan diberikan rollcage enam poin chrommoly, set pedal box, tuil brek tangan hidraulik, sepasang tempat duduk perlumbaan lengkap dengan tali pinggang keledar bersama roda stereng dari OMP, serta kelengkapan-kelengkapan lain yang berkaitan.

Kenapa guna platform SUV MPV ini sebagai asas untuk sebuah jentera rali? Menurut Rifat Sungkar,bukan sahaja terpikat dengan rupa garang pada Xpander lebih-lebih lagi selepas seorang pereka grafik dan artis automotif bernama Yoga Budi Widiantoro menghasilkan imej bayangan Xpander AP4 berkenaan, malah menurutnya MPV tersebut mempunyai pengendalian terbaik berbanding saingannya yang lain.

Rifat juga menyatakan bahawa dia diberitahu oleh jurutera Mitsubishi sendiri bahawa Xpander ini dihasilkan dengan DNA kuat dari Lancer Evolution X, sebab itulah ia memberikan respon dan pengendalian yang cukup baik. Rifat yang juga mempunyai garaj ubahsuainya sendiri iaitu RFT Motorsport, telah menimbang Xpander persendiriannya dan terkejut MPV tersebut dihasilkan dengan nisbah berat hampir sempurna seperti sebuah kereta sport sebenar iaitu 50.1% di hadapan serta 49.9 di belakang!

Apa pun, kita semua tahu model-model Mitsubishi sememangnya mempunyai ‘semangat’ jentera rali dengan kebanyakkan model-model berkenaan dihasilkan dengan input-input dari yang diambil dari perlumbaan rali bermula pada era 70’an. Mitsubishi Xpander yang bakal dilancarkan pada pasaran Malaysia tidak lama juga tidak terkecuali dengan DNA ini, walaupun ia sebuah MPV keluarga yang boleh memuatkan tujuh-orang dewasa.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required