General Motors tak kisah Songsan SS Dolphin dari China ciplak rekaan kereta sport Chevrolet Corvette C1

General Motors tak kisah Songsan SS Dolphin dari China ciplak rekaan kereta sport Chevrolet Corvette C1

Ciplak rekaan kereta seakan dah biasa di China. Ada jenama yang diciplak memang marah dengan apa yang dibuat oleh pengeluar-pengeluar China ini, misalnya Land Rover yang telahpun mengambil tindakan undang-undang terhadap Land Wind yang meniru rekaan Range Rover Evoque mereka. Namun ada juga jenama yang hanya pasrah apabila rekaan mereka di tiru.

Ketika acara Beijing Auto Show 2020 berlangsung akhir bulan lalu, salah satu dari beratus-ratus jenama automotif domestik China iaitu Songsan telah mendedahkan kereta sport tanpa bumbung terbaharu mereka yang digelar SS Dolphin. Sekali pandang, tidak sukar untuk kita hadam bahawa rekaannya diciplak dari kereta sport ikonik Amerika, Chevrolet Corvette C1.

Malah jika anda bertandang ke laman rasmi Songsan, mereka tanpa segan silu mengaku bahawa kereta ini memang direka dengan meniru rekaan dari Chevrolet, sambil menyiarkan gambar-gambar selebriti Amerika seperti Dwanye ‘The Rock’ Johnson, Leonardo DiCaprio, Tom Cruise dan ramai lagi bergambar dengan Corvette C1 sebenar.

General Motors tak kisah Songsan SS Dolphin dari China ciplak rekaan kereta sport Chevrolet Corvette C1

“Semua orang ada kereta idaman dalam fikiran mereka, sebahagiannya adalah dari filem-filem Amerika ketika zaman kanak-kanak, dan ada juga model klasik yang dilihat di muzium-muzium luar negara, jadi ia menyemarakkan kemahuan tersebut. Walau bagaimanapun, kereta lama tidak boleh diimport, dan ia tidak boleh digunakan secara sah di atas jalan raya.

“Siri kereta neo-klasik ini membawa impian dan perasaan retro ke pasaran China. Rupa retro dan kawalan-kawalan moden bukan hanya sebagai permainan mewah dan romantik, ia juga kereta pengangkutan yang menjimatkan tenaga dan mesra alam,” tulis satu kenyataan dalam laman web Songsan tersebut berkenaan SS Dolphin ini.

Namun menurut laman Carscoop, pemilik jenama Chevrolet iaitu General Motors (GM) tidak kisah dengan apa yang dibuat oleh Songsan berkenaan, walaupun secara terang-terangan mereka mengaku bahawa kereta sport ini dihasilkan berdasarkan rekaan Corvette C1.

General Motors tak kisah Songsan SS Dolphin dari China ciplak rekaan kereta sport Chevrolet Corvette C1

“Mereka tidak menggunakan sebarang nama dengan tanda dagangan kami atau logo, dan rekaan mereka tidak identikal dengan C1,” kata pengurus senior Chevrolet untuk komunikasi kereta dan crossover Chevrolet, Kevin Kelly kepada portal tersebut.

Walaupun rupa Songsan SS Dolphin ini nampak retro, ia tidak diberikan enjin V8 atau teknologi-teknologi old-school. Sebaliknya, ia digerakkan oleh unit janakuasa plug-in hybrid gandingan enjin petrol 1.5 liter bersama motor elektrik yang dibekalkan oleh BYD.

Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat. Dengan pek bateri 16 kWj yang dibekalkan, Songsan SS Dolphin boleh bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya dalam jarak 90km hingga 100 km.

General Motors tak kisah Songsan SS Dolphin dari China ciplak rekaan kereta sport Chevrolet Corvette C1

Pada bahagian luaran, SS Dolphin ini diberikan perincian yang ditiru dari Corvette C1 termasuk lampu hadapan bulat berkembar (menggunakan LED), gril hadapan, lekuk pada fender hadapan dan pintu, bampar dan lampu belakang serta kemasan-kemasan krom yang sepatutnya.

Untuk kabin pula, Corvette palsu ini menerima rekaan gabungan antara retro dan moden menampilkan paparan instrumen digital, skrin infotainmen terapung, roda stereng rata di bawah, serta kemasan-kemasan elemen kayu dan metalik.

Walaupun ia produk dengan rekaan ciplak, Songsan SS Dolphin ini bukanlah sebuah kereta yang murah di China. Ia dijual pada harga bermula 590,000 yuan (RM364k) atau hampir 50% lebih mahal dari sebuah Chevrolet Camaro di pasaran tersebut.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required