Selepas empat bulan Lexus IS 2021 diperkenalkan di peringkat global, sedan yang dinaik taraf ini telah pun mula dibuka pra-tempahan untuk pasaran Australia. Sedan ini juga akan menerima lima peningkatan iaitu bantuan membelok di persimpangan, bantuan stereng kecemasan, notifikasi pelanggaran automatik, panggilan SOS dan penjejak kenderaan yang dicuri.

Barisan IS bermula dengan IS 300 Luxury yang ditawarkan pada harga AUD61,500 (RM182,097), dan ia dijanakan oleh enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris petrol yang mampu menghamburkan kuasa sebanyak 241 hp dan tork 350 Nm, digandingkan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan.

Model seterusnya ialah IS 300h Luxury hybrid yang berharga AUD64,500 (RM190,733), di mana ia menggabungkan enjin 2.5 liter naturally aspirated empat-silinder sebaris petrol dengan kuasa 221 Nm bagi tork dan digandingkan bersama motor elektrik dengan tork 300 Nm, bersama jumlah keseluruhan output pula cecah 220 hp.

Lexus IS 350 F Sport

Kedua-dua IS 300 Luxury dan IS 300h Luxury turut diberikan pilihan Enhancement Pack berharga AUD2,000 (RM5,914) yang ditampilkan dengan moonroof, roda 19-inci, lampu utama LED gred-tinggi, kemasan tempat duduk balutan kulit, pengaliran udara untuk tempat duduk belakang, ketetapan memori bagi tempat duduk pemandu, pelindung matahari larasan kuasa di belakang dan sistem audio Mark Levinson bersama 17-pembesar suara.

Ciri standard lain bagi IS Luxury termasuk skrin sesentuh 10.3-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, kemasukan pintar, tempat duduk hadapan dengan larasan lapan-hala dan fungsi pemanas, kawalan suhu dwi-zon, sistem audio dengan 10-pembesar suara, navigasi satelit dengan Suna 6 live traffic, kawalan suara dan lampu utama LED dengan lampu tinggi automatik.

Varian ketiga dalam barisan IS yang ditawarkan di Australia hadir dengan enjin 3.5 liter naturally aspirated V6 (311 hp/380 Nm) yang ditampilkan pada model IS 350 dan berharga dari AUD75,000 (RM221,829), di mana ia ditawarkan dengan varian tunggal bagi F Sport. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan, yang menyalurkan pacuan ke roda belakang.

Kit standard yang ditawarkan untuk F Sport termasuklah aloi 19-inci, spoiler dan kit badan F Sport, hiasan dan scuff plates F Sport, lampu utama LED gred-tinggi, lima mod Pemilihan Pemanduan, suspensi boleh laras adaptif, kemasan kulit, pedal dan tempat duduk sport F Sport, tempat duduk pemandu dengan ketetapan memori, tempat duduk hadapan dengan pengaliran udara dan paparan instrumen digital lapan-inci.

Pembeli yang memilih kemasan F Sport untuk ketiga-tiga varian IS 300, IS 300h dan IS 350 juga diberikan pilihan Enhancement Pack berharga AUD3,300 (RM9,760), yang merangkumi moonroof, pelindung matahari larasan kuasa di belakang dan sistem audio Mark Levinson bersama 17-pembesar suara.

Untuk kit keselamatan bagi Lexus IS termasuklah Lexus Safety System+ dengan amaran pra-pelanggaran, bantuan brek pra-pelanggaran dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal pada siang hari, dan brek pra-pelanggaran (brek kecemasan sendiri) dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal pada siang hari. IS juga menerima bantuan membelok kiri dan kanan di persimpangan, yang akan memberikan amaran kepada pemandu dan membrek sekiranya pemandu membelok ke arah trafik yang datang.

IS untuk pasaran Australia turut menerima bantuan stereng kecemasan, di mana stereng akan bergerak secara automatik sekiranya tiba-tiba ada pejalan kaki di lorong kereta yang dipandu itu. Selain itu, ia turut menampilkan sistem bantuan pemandu termasuk kawalan kelajuan adaptif semua-kelajuan, bantuan mengesan lorong, bantuan tanda jalan, paparan titik buta, brek sokongan parkir dan kepekaan trafik lintasan belakang dengan brek.