Brabus Rocket 900 – Coupe empat pintu berkuasa 900 hp, tork 1,050 Nm, 0-100 km/j hanya 2.8 saat, 330 km/j!

Brabus Rocket 900 – Coupe empat pintu berkuasa 900 hp, tork 1,050 Nm, 0-100 km/j hanya 2.8 saat, 330 km/j!

Mercedes-AMG GT Coupe 63 S 4Matic+ sudah pun boleh dikategorikan sebagai sebuah kereta empat-pintu yang agak ‘gila’, dengan bekalan 630 hp dan tork maksima 900 Nm. Tapi kalau anda ada banyak duit dan rasa AMG GT Coupe tersebut masih tak cukup berkuasa, mungkin anda boleh beli model yang dipertingkat oleh Brabus yang digelar sebagai Brabus Rocket 900 ini, kerana ia dibekalkan dengan kuasa 900 hp dan tork maksima setinggi 1,050 Nm!

Jika AMG GT Coupe 63 S dijual pada harga RM1.8 juta di Malaysia, model dalam versi Brabus ini pula akan dijual pada harga 427,000 euro atau sekitar RM2.09 juta – ini adalah harga di Jerman tidak termasuk cukai. Dan peluang untuk memiliki kereta ini juga tidaklah begitu luas kerana Brabus hanya menghasilkan sebanyak 10-unit untuk pasaran seluruh dunia.

Bagi mengekstrak lebih kuasa, enjin asal 4.0 liter V8 bersama dua pengecas turbo jenis twin-scroll berkenaan telah dileraikan, dan aci engkol asal diganti dengan aci engkol billet baharu yang meningkatkan strok kepada 100 mm, bersama rod penghubung billet dan juga omboh forged lebih besar dengan bore silinder 84 mm. Proses ini membolehkan kapasiti asal 4.0 liter tersebut meningkat kepada 4.5 liter.

Kemudian, pengecas turbo asal juga telah ditukar dengan sepasang pengecas turbo dengan pemampat lebih besar dan diberikan galas axial yang diperkuat, membolehkan tekanan boost yang diasak ke enjin berada pada tahap 1.4 bar. Ia turut dipadankan dengan sistem kemasukan baharu dengan komponen karbon yang direka semula.

Brabus Rocket 900 – Coupe empat pintu berkuasa 900 hp, tork 1,050 Nm, 0-100 km/j hanya 2.8 saat, 330 km/j!

Untuk bekalan bahan api juga dipertingkat dengan pam yang memberikan tekanan lebih kuat. Manakala untuk ekzos, ia turut menerima sistem aluminium lengkap dari Brabus menampilkan unit catalysts jenis aliran bebas yang diakhiri dengan empat tip di belakang.

Sistem ekzos berprestasi tinggi ini juga hadir dengan flap yang dikawal secara elektronik yang mampu memberikan bunyi V8 lebih garang, serta memberikan mod “Coming Home” di mana ia akan ditala untuk lebih perlahan untuk tidak menggangu jiran tetangga ketika anda melalui kawasan perumahan untuk pulang ke rumah.

Akhir sekali enjin yang telah pun menerima rombakan besar ini menerima talaan semula dari Brabus, yang bukan sahaja memberikan prestasi paling optimum, malah ia turut memenuhi standard emisi EURO 6D ISC-FCM yang sangat ketat di Eropah.

Menurut Brabus, kesemua 900 hp yang dibekalkan pada enjin tersebut dilepaskan ketika rpm enjin mencecah 6,200 rpm. Manakala untuk tork pula, ketika diuji ia mampu mengerah sehingga 1,250 Nm, tetapi ia terpaksa diturunkan kepada 1,050 Nm untuk aplikasi sebenar kerana ia mungkin boleh merosakkan komponen lain.

Brabus Rocket 900 – Coupe empat pintu berkuasa 900 hp, tork 1,050 Nm, 0-100 km/j hanya 2.8 saat, 330 km/j!

Walaupun semua perubahan ini tidak boleh nampak dengan mata kasar, Brabus “memberi amaran” bahawa ini bukan lagi enjin standard dengan memberikan penutup kemasan enjin gentian karbon berwarna merah lengkap dengan tulisan “Brabus 900 bi-turbo 4.5L”, plat dengan tandangan juruteknik yang memasang enjin berkenaan, serta satu lagi lencana grafik seakan graf dyno dengan angka 900, menandakan ia kini telah pun dibekalkan dengan 900 hp.

Enjin berkenaan masih digandingkan dengan transmisi automatik AMG Speedshift MCT sembilan kelajuan, dan kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda 4Matic+. Ini membolehkan Brabus Rocket 900 memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 2.8 saat, dan dari pegun ke 300 km/j hanya 23.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 330 km/j yang dihadkan secara elektronik.

Bagi menangani kuasa yang jauh lebih besar ini, Brabus Rocket 900 diberikan set roda yang cukup lebar dan besar. Set rim one-piece Brabus Monoblock Z Platinum Edition dengan cakera gentian karbon diberikan, dalam saiz 21-inci dan lebar 10.5 J di hadapan, 22-inci lebar 12 J di belakang. Rim-rim tersebut dibaluti oleh tayar berprestasi tinggi Pirelli P Zero bersaiz 295/30ZR21 di hadapan dan 335/25ZR22 di belakang.

Sistem suspensi bebas jenis pneumatic untuk depan dan belakang masih dikekalkan, namun penyerap hentaknya digantikan dengan unit Brabus Airmatic Sport yang membolehkan kereta ini direndahkan 25 mm dari standard, serta diberikan dua mod pemanduan iaitu “Comfort” dan “Sport”.

Rupa luaran Barbus Rocket 900 ini bukan sahaja disentuh semula bagi memberikan imej yang lebih garang, malah setiap kit badan yang diberikan mempunyai fungsinya yang tersendiri. Setiap ruang roda pada kereta ini menerima set fender yang lebih lebar diperbuat dari karbon Kevlar, membuatkan ia kini 78 mm lebih lebar dari Mercedes-AMG GT Coupe biasa.

Bampar hadapan juga direka semula bagi disesuaikan dengan ‘pipi’ yang lebih tembam, bersama liang-liang udara yang lebih besar untuk dialirkan ke brek hadapan dan juga terus ke sistem kemasukan udara enjin. Setiap spoiler dan splitter pada bampar hadapan ini juga berfungsi untuk mengelakkan bahagian hadapan kereta ini terangkat pada kelajuan tinggi.

Begitu juga dengan spoiler but dan diffuser pada bampar belakang yang diperbuat dari gentian karbon, yang memberikan kesan aerodinamik yang tersendiri. Menurut Brabus, rekaan kit badan untuk Rocket 900 ini disempurnakan dengan ujian terowong angin.

Brabus Rocket 900 – Coupe empat pintu berkuasa 900 hp, tork 1,050 Nm, 0-100 km/j hanya 2.8 saat, 330 km/j!

Brabus turut menyebut bahawa gambar yang disiarkan ini merupakan Rocket 900 dengan nombor siri “01” dari sepuluh unit yang ditawarkan tersebut, dan ia diberikan warna istimewa Stealth Gray. Kesemua komponen krom juga telah dicat semula dengan warna badan.

Warna yang sama turut diberikan pada kemasan-kemasan di bahagian dalaman (215 komponen dari suis hingga bezel) sebagai kontras kepada upholsteri Alcantara dan kulit berwarna Royal Black. Brabus turut memberikan elemen jahitan berbentuk berlian, sulaman-sulaman logo ‘B’, serlahan-serlahan merah pada tempat duduk dan karpet kaki serta panel-panel sepatutnya, bersama lencana dengan tandatangan pakar yang menyediakan upholsteri tersebut pada perehat badan tempat duduk.

Perincian lain yang turut diberikan termasuk plat logam tahan karat pada bendul pintu dengan logo Brabus bernyala (sama dengan warna lampu suasana kabin), dan juga set pedal aloi Brabus.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required