Umum mengetahui, pemakaian tali pinggang keledar di dalam kenderaan adalah peraturan yang dimandatorikan, namun demikian masih ramai lagi di kalangan kita yang tidak mematuhi ketetapan undang-undang ini. Sering kali kita terbaca laporan media tentang mangsa kemalangan yang ‘terbang keluar’ dari kenderaan hingga ada yang tergadai nyawa. Selain impak kemalangan, tidak memakai tali pinggang keledar antara punca utama kehilangan nyawa atau pun cedera parah.

Terdorong dengan isu sebeginilah yang membuatkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) menyeru ahli politik, penjawat awam dan pemimpin masyarakat, mempamerkan teladan dalam pemakaian tali pinggang keledar bagi mendidik orang ramai memakainya di dalam kereta, bagi pemandu serta penumpang di hadapan dan belakang.

Pengerusinya Datuk Suret Singh berkata, kajian Miros berhubung pemakaian tali pinggang keledar pada tahun ini menunjukkan kadar pematuhan bagi pemandu adalah 90%, penumpang hadapan 70% dan 11% bagi penumpang di bahagian belakang, laporan Bernama.

“Memakai tali pinggang keledar dengan betul bagi pemandu serta penumpang di bahagian depan dan belakang, secara drastik dapat mengurangkan risiko kecederaan parah dan kematian akibat kemalangan sebanyak 50%. Penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) yang dipasang dengan betul dan sesuai dengan ketinggian serta berat badan, dapat membantu mengurangkan risiko kematian bayi sebanyak 71% dan 54% bagi kanak-kanak berusia antara satu hingga empat tahun,” katanya.

Tambah beliau, hampir semua kenderaan yang dikeluarkan sejak tahun 1993 telah dilengkapi dengan tali pinggang keledar, justeru beliau menyeru masyarakat menjadikan pemakaian tali pinggang keledar sebagai satu kebiasaan dan budaya harian.

“Teladan yang baik dan peringatan harian kita kepada rakan dan keluarga akan bantu menyelamatkan nyawa. Ibu bapa juga harus membiasakan anak-anak mereka sejak bayi untuk menggunakan CRS,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut memaklumkan, rombakan Sistem Pemberian Mata Demerit Jalan Raya (KEJARA) sedang dilakukan oleh Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Miros, untuk dilaksanakan setelah integrasi data antara JPJ dan polis selesai.

“Tidak memakai tali pinggang keledar akan menyebabkan anda dikenakan mata demerit. Tidak berbaloi lesen memandu anda ditarik hanya kerana tidak memakai tali pinggang keledar, yang hanya memerlukan tiga saat. Amat menyedihkan apabila melihat penumpang dan bayi tercampak keluar dari kenderaan dalam kemalangan jalan raya. Penyelesaian untuk mencegahnya ada di tangan kita. Jadikan tali pinggang keledar dan CRS sebagai kebiasaan sebelum memulakan perjalanan,” katanya.